Skip to main content
Berita

Sambutan Hari Integriti Peringkat MOSTI 2022

23 November 2022, Putrajaya – Sambutan Hari Integriti Peringkat MOSTI 2022 buat julung kalinya diadakan pada hari ini bertempat di Dewan Perhimpunan MOSTI dan telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Hari Integriti Nasional telah diisytiharkan pada 5 November 2005. Manakala, Bulan Integriti Nasional pula disambut setiap tahun sepanjang bulan November. Pada tahun ini, tema ‘Integriti Teras Keluarga Malaysia’ telah diangkat selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang menekankan tiga (3) teras utama iaitu Kebersamaan, Keterangkuman dan Kesyukuran. Ia turut mencakupi amalan menyemai budaya integriti; amanah; prinsip keadilan; dan amalan bermusyawarah dalam membina akhlak mulia seluruh rakyat Malaysia.
Dalam ucapannya, YBhg. Datuk Ts. Dr. KSU menegaskan bahawa Integriti dalam keluarga MOSTI amat penting memandangkan setiap keputusan yang dibuat dan tindakan yang diambil perlulah dilaksanakan dengan penuh amanah, telus, tiada konflik kepentingan, tiada unsur salah guna kuasa, berakauntabiliti dan patuh kepada peraturan, garis panduan serta undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Setiap daripada warga MOSTI perlulah berpegang teguh kepada integriti dan menanam disiplin yang tinggi dalam diri dan seterusnya ia akan mempamerkan keperibadian yang unggul.
Bersempena dengan sambutan Bulan Integriti Nasional dan Hari Integriti Peringkat MOSTI 2022, pelbagai program, aktiviti dan pengisian telah dirancang dan dilaksanakan. Syabas kepada warga MOSTI yang telah menyertai serta menjayakan program-program yang diadakan. Pada hari ini turut diadakan sesi pemeriksaan kesihatan, perkongsian bertajuk ‘Luar Biasa’ oleh Encik Airol Irwan bin Limin dari Pro Rev Consultancy & Services dan perkongsian bertajuk ‘Saya dan Integriti’ oleh Puan Zarina binti Mohamad Amin dari Institut Integriti Malaysia.
Hadir sama YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBrs. Encik Ooli Gunalan A/L Manickam, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) MOSTI, pegawai-pegawai kanan serta kakitangan MOSTI, jabatan dan agensi.
Skip to content