Skip to main content
Berita

Sangkar Penyembelihan Mudah Alih Diserahkan Kepada Masjid-Masjid Terpilih Di Wilayah Persekutuan

Kuala Lumpur, 27 Julai 2020 – Majlis Penyerahan Sangkar Penyembelihan Mudah Alih kepada masjid-masjid terpilih di Wilayah Persekutuan yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Yayasan Inovasi Malaysia – YIM – Malaysia Innovation Foundation telah diadakan pada hari ini di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Majlis penyerahan ini disempurnakan oleh YB Tuan Haji Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kepada YBrs. Tuan Haji Mohd Ajib bin Ismail, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI),
Produk inovasi Sangkar Penyembelihan Mudah Alih ini telah dicipta oleh inovator YIM, Haji Hamzan bin Hashim dari Arau, Perlis. Sangkar yang diperbuat daripada besi keluli ini boleh menggantikan teknik tradisional penyembelihan haiwan ternakan seperti lembu kepada teknik yang lebih mudah, cepat dan terurus.
Selari dengan penetapan prosedur operasi standard (SOP) kepada pengurusan masjid bagi pelaksanaan ibadah korban norma baharu, sangkar inovasi ini menerapkan penjarakan sosial dan meminimakan tenaga kerja kepada 3 orang sahaja serta menggunakan sistem hidraulik bagi mempercepatkan lagi proses penyembelihan.
Di antara masjid yang menerima Sangkar Penyembelihan ini adalah Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Tuanku Abdul Halim; Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju; Masjid Ar-Rahman, Jalan Pantai Baru; dan Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati Setapak.
Sesi latihan pengendalian juga diadakan dengan memberikan taklimat dan praktikal tatacara penyembelihan haiwan korban menggunakan Sangkar Penyembelihan kepada wakil-wakil dari Masjid Felda Sri Jaya, Tangkak, Johor; Masjid Jamek An-Nur Daerah Rembau, Rembau, Negeri Sembilan; Kampung Kubang Kekura, Kuala Terengganu, Terengganu; Pusat Tarbiyah DUN Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu, Terengganu; dan Surau Al Barakah (Surau Jumaat), Pasir Gudang, Johor.