Skip to main content
Berita

Persaraan Ketua Setiausaha MOSTI

26 Ogos 2022, Putrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengucapkan selamat bersara kepada YBhg. Datuk Zainal Abidin bin Abu Hassan, Ketua Setiausaha MOSTI setelah lebih 34 tahun dalam perkhidmatan bermula di JPA dan MOSTI merupakan penempatan terakhir YBhg. Datuk KSU.

MOSTI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Datuk Zainal Abidin yang telah menunjukkan ketokohan dan memainkan peranan penting dalam #MerakyatkanSains #MenginsankanTeknologi serta mencapai pelbagai kejayaan dalam pelaksanaan program-program berimpak tinggi.

YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, barisan pengurusan tertinggi MOSTI serta Keluarga MOSTI hari ini turut bersama secara fizikal dan dalam talian melalui aplikasi zoom semasa ‘clock out’ YBhg. Datuk Zainal Abidin.

Dua rangkap pantun dari YB Dato’ Sri Dr. Adham buat Datuk Zainal Abidin.

Dari Bagan pergi ke pekan,
Singgah kuala membeli roti,
Sekalung penghargaan kami titipkan,
Atas segala jasa dan bakti.
Dari MOSTI ke Pulau Langkawi,
Singgah di Manong di waktu pagi,
Janganlah sedih, janganlah sunyi,
Harap kita bertemu lagi.

Pihak pengurusan tertinggi dan seluruh warga MOSTI, jabatan dan agensi mengucapkan terima kasih di atas segala khidmat bakti dan jasa sepanjang berkhidmat di MOSTI. Seluruh warga MOSTI mendoakan semoga YBhg. Datuk Zainal Abidin sentiasa diberi perlindungan dan kesihatan berpanjangan oleh Allah SWT serta dimurahkan rezeki dan berbahagia bersama keluarga tercinta.
YBhg. Datuk Zainal Abidin turut memberikan serangkap pantun buat semua.

Pengalaman di MOSTI jadi kenangan,
Setiap detik terpahat di ingatan,
Wahai teman dan rakan seperjuangan,
Sokongan semua tidak akan dilupakan.

Andainya bintang di angkasa tidak mampu dikira begitulah juga besarnya jasa YBhg. Datuk sehingga tidak mampu untuk kami membalasnya. Terima kasih sekali lagi buat YBhg. Datuk Zainal Abidin bin Abu Hassan.

Skip to content