Skip to main content
Berita

Selamat Menyambut Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2026

21 November 2026, Kuala Lumpur – YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail telah menyempurnakan Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2026 di Pusat Sains Negara, pagi ini.
Bertemakan “Impian dan Hak Masa Depan Kami”, tema ini menegaskan hak setiap kanak-kanak untuk hidup selamat, menyuarakan pandangan dan mengejar impian serta mendapat peluang yang adil untuk mengembangkan potensi diri tanpa mengira latar belakang.
Dalam ucapannya, YABhg. Dato’ Seri menegaskan bahawa anak-anak merupakan amanah dan aset berharga negara. Memastikan mereka membesar dalam persekitaran yang sihat, selamat dan sejahtera memerlukan komitmen serta tanggungjawab bersama melalui pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Society.
Pendekatan ini menuntut kerjasama strategik merentas kementerian dan agensi, selain penglibatan aktif keluarga, komuniti, masyarakat sivil, institusi pendidikan dan sektor industri bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat perhatian, perlindungan serta peluang perkembangan yang sewajarnya.
Sehubungan itu, usaha memperkukuh kesihatan dan kesejahteraan ibu serta anak perlu terus diberikan keutamaan, termasuk menangani isu pemakanan tidak seimbang dan masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak melalui peningkatan kesedaran, pemantauan tumbesaran serta intervensi awal.
Sesungguhnya, memastikan masa depan anak-anak yang lebih baik merupakan amanah bersama yang perlu digalas dengan penuh komitmen oleh seluruh lapisan masyarakat.
Turut hadir ialah YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha MOSTI serta tetamu jemputan.
Skip to content