Skip to main content
Berita

Seminar MIMOS-PHISON ‘Empowering Communities With AI: Unlocking Potential Through Technology’

14 Jun 2024, Kuala Lumpur – Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang hari ini merasmikan Seminar MIMOS-PHISON ‘Empowering Communities With AI: Unlocking Potential Through Technology’ di MIMOS Berhad, Bukit Jalil.
Seminar yang dianjurkan bersama oleh MIMOS Berhad, sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) dan Phison Electronics Corporation ini merupakan platform penting untuk berkongsi kemajuan dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) dengan pemain industri, institut penyelidikan dan sektor kerajaan.
Berdasarkan kepada memorandum kerjasama yang telah ditandatangani baru-baru ini, MIMOS dan Phison menyasarkan untuk melaksanakan latihan berdasarkan kepada model AI di Malaysia bagi memenuhi keperluan aplikasi AI yang selamat serta meningkatkan daya saing, terutamanya kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia.
AI sedang merevolusikan industri, meningkatkan kecekapan, dan menyelesaikan masalah kompleks. Bagi Malaysia, penerimaan AI adalah penting untuk daya saing global bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi dan berteknologi tinggi.
YB Tuan Chang Lih Kang dalam ucapan perasmiannya berkata, “Selain manfaat segera kepada PKS, kerjasama ini akan meningkatkan keupayaan negara dalam pembangunan litar bersepadu dan reka bentuk sistem. Kerjasama ini akan mencipta peluang besar kepada rakyat Malaysia dalam pemindahan teknologi serta meningkatkan kemahiran dan kepakaran dalam AI. Seminar MIMOS-PHISON ‘Empowering Communities With AI: Unlocking Potential Through Technology’ merupakan contoh terbaik inisiatif ini. Melalui kerjasama ini, ianya akan memudahkan latihan lanjutan serta memberikan pengalaman praktikal selain dapat membekalkan tenaga kerja yang diperlukan seiring dengan keupayaan yang diperlukan berdasarkan kepada landskap AI yang pantas berkembang.”
Seminar MIMOS-PHISON ‘Empowering Communities With AI: Unlocking Potential Through Technology’ selaras dengan visi Malaysia untuk beralih kepada ekonomi digital, menyokong beberapa pelan tindakan nasional iaitu Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), National Artificial Intelligence Roadmap (NAIR) 2021-2025 dan agenda MADANI, bertujuan untuk mencapai kemakmuran inklusif melalui teknologi canggih.
Matlamat utama inisiatif ini adalah untuk mendorong penerimaan AI demi manfaat ekonomi dan sosial Malaysia. Selain itu, maklumat dan inisiatif daripada seminar ini juga akan dimuatnaik di portal MY-AI, platform dalam talian negara pertama yang didedikasikan untuk sumber dan isu berkaitan Kecerdasan Buatan (AI) yang telah dilancarkan oleh MOSTI bulan lepas.
Skip to content