15 Oktober 2025, Kuala Lumpur – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah merasmikan Seminar on Advancing Energy Transition and Circular Economy Towards Net Zero and Carbon Neutrality yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) di Hotel Concorde, Kuala Lumpur. Turut hadir ke majlis ini, YBrs. Encik Imran Abdul Kadir, Naib Presiden, Strategy, Sustainability & Transformation, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), YBrs. Prof. Ts. Dr. Shahrina Md Nordin, Pengarah, Institute of Smart and Sustainability Living (ISSL), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) serta peserta seminar.
Dalam ucapannya, YBhg. Datuk Seri Hasnol Zam Zam menegaskan bahawa pencapaian matlamat Sifar Bersih dan Keneutralan Karbon memerlukan kerjasama erat, inovasi berterusan serta penyepaduan dasar yang kukuh. Beliau turut menekankan kepentingan membangunkan ekosistem holistik yang menghubungkan penyelidikan, teknologi, peraturan dan kesiapsiagaan pasaran bagi mempercepatkan pertumbuhan hidrogen hijau di rantau Asia Pasifik.
Seminar ini yang dilaksanakan di bawah geran Asia Pacific Economic Cooperation (APEC) dengan fasilitasi MOSTI ini menghimpunkan pakar, penyelidik serta pemain industri bagi membincangkan peranan hidrogen hijau dalam mempercepatkan peralihan kepada masa depan tenaga yang lebih bersih dan mampan.
Sebagai platform strategik perkongsian ilmu, seminar ini memberi tumpuan kepada amalan terbaik dan strategi membangunkan ekonomi hidrogen mampan yang merangkumi aspek penyelidikan, pengeluaran, piawaian keselamatan, rangka kerja peraturan serta laluan pengkomersialan.
Berdasarkan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) Malaysia, sektor hidrogen hijau berpotensi menyumbang lebih daripada RM400 bilion kepada pendapatan negara dan mewujudkan lebih 200,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi menjelang tahun 2050, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam tenaga boleh diperbaharui.
MOSTI kekal komited untuk memperkukuh jalinan kerjasama dengan industri, akademia dan rakan antarabangsa dalam memperkukuh ekosistem inovasi negara serta memacu peralihan ke arah masa depan yang lebih bersih, berdaya tahan dan mampan.