Skip to main content
Berita

Seminar Pembangunan Vaksin dan Biopengilangan 2024

3 Disember 2024, Kuala Lumpur – Seminar Pembangunan Vaksin dan Biopengilangan 2024 berlangsung pada 3 Disember 2024 di Connexion Event and Conference Centre, Kuala Lumpur.
Acara ini dianjurkan bersama oleh Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre, Universiti Malaya (TIDREC, UM) dan Malaysia Genome and Vaccine Institute, National Institutes of Biotechnology Malaysia (MGVI-NIBM), dengan penyertaan lebih 130 wakil daripada industri, institusi penyelidikan, akademia, dan agensi regulatori.
YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam ucapan perasmiannya yang dibacakan oleh YBrs. Dr. Mohd Azlan bin Zaharudin, Pengarah Pejabat Pengurusan Projek Pembangunan Vaksin Malaysia (MVPO), MOSTI berkata “pentingnya memperkukuhkan ekosistem pembangunan vaksin negara untuk menjamin kesiapsiagaan kesihatan global serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar. Beliau juga menyentuh tentang peluang Malaysia untuk menjadi hab pengeluaran vaksin serantau menjelang tahun 2030, sejajar dengan matlamat Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN)”.
“Seminar ini juga mencerminkan komitmen kita untuk memacu kolaborasi antara kerajaan, akademia, dan industri dalam menangani cabaran biopengilangan serta melahirkan bakat tempatan yang berinovasi. Dengan sokongan strategik dan kerjasama antarabangsa, Malaysia berpotensi untuk menjadi pemain utama dalam pasaran vaksin ASEAN,” tambah beliau.
Seminar ini turut menampilkan pakar-pakar terkemuka yang berkongsi pandangan tentang peluang dan cabaran dalam pembangunan vaksin serta teknologi biopengilangan. Seminar ini diharapkan dapat mencetuskan kolaborasi strategik yang mempercepatkan pembangunan ekosistem vaksin negara.
Skip to content