22 Januari 2026, Putrajaya – YBrs. Dr. Balamurugan a/l Nallamuthu, Setiausaha Bahagian Antarabangsa, MOSTI telah mengadakan perjumpaan bersama delegasi Science and Technology Exchange dari Wilayah Fujian, Republik Rakyat China, yang diketuai oleh pegawai kanan Jabatan Sains dan Teknologi Wilayah Fujian bersama wakil industri dan institusi penyelidikan. Pertemuan ini bertujuan untuk meneroka peluang kolaborasi dalam bidang sains, teknologi, dan inovasi (STI) serta mewujudkan mekanisme penyelarasan yang mampan bagi pelaksanaan projek-projek masa hadapan antara kedua-dua pihak.
Fokus utama perbincangan merangkumi usaha menarik pelaburan teknologi tinggi dari Fujian ke Malaysia serta perkongsian pengalaman mengenai penggubalan dasar STI dan pengurusan Research & Development (R&D). Selain itu, kerjasama ini akan diperluas kepada aspek pengkomersialan hasil penyelidikan, pengukuhan kolaborasi antara perusahaan, dan pembangunan bakat teknikal bagi memastikan ekosistem inovasi negara terus berkembang secara dinamik di peringkat antarabangsa.




