Skip to main content
Berita

Sesi Lawatan Kerja MOSTI Ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor

10 Ogos 2026, Selangor – Sesi lawatan kerja hari ini adalah kesinambungan daripada “Program Psychoethics: Minda Sejahtera, Integriti Terpelihara”, anjuran bersama Unit Pengurusan Psikologi, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Unit Integriti, MOSTI yang melibatkan Warga MOSTI dan Jabatan di bawah MOSTI.

Sesi ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman, kesedaran serta pendedahan praktikal kepada peserta berkaitan pelaksanaan inisiatif pencegahan rasuah, pengukuhan integriti dan amalan tadbir urus yang baik dalam sektor awam. Para peserta telah diberi peluang untuk melihat sendiri Lokap SPRM, Bilik Temu Bual Berperakam Video (Video Interviewing Room) dan Bilik Kawad Cam yang digunakan sepanjang tempoh proses siasatan yang dijalankan oleh SPRM.
Pihak SPRM Negeri Selangor turut menyampaikan taklimat dan perkongsian berkaitan Akta SPRM 2009, termasuk kes-kes yang melibatkan penjawat awam. Pendedahan ini memberi peluang kepada para peserta untuk memahami dengan lebih jelas risiko serta bentuk-bentuk jenayah rasuah yang boleh berlaku dalam pelbagai sektor. Sesi ini turut disusuli dengan sesi soal jawab bagi memberikan penjelasan terhadap isu dan kekeliruan yang sering timbul dalam kalangan masyarakat berkaitan rasuah.
Semoga pendedahan yang diperoleh melalui sesi lawatan kerja ini akan dapat memperkukuh kefahaman dan membudayakan nilai integriti dalam kalangan warga MOSTI, seterusnya menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan awam yang lebih telus, beretika dan berintegriti serta terus mendapat kepercayaan masyarakat.
Skip to content