Skip to main content
Berita

Sesi Libat Urus dan Lawatan Kerja Unit Integriti MOSTI ke Bioeconomy Corporation

18 September 2025, Putrajaya – Bioeconomy Corporation telah menganjurkan Roundtable Discussion melibatkan Integrity and Governance Unit (IGU) di agensi-agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan turut disertai pegawai-pegawai Unit Integriti MOSTI dan wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sesi dimulakan dengan pembentangan peranan dan fungsi Bioeconomy Corporation oleh En. Fadzrin Azwar Abdul Aziz, Senior Vice President, Strategic Ventures. Bioeconomy Corporation berperanan sebagai peneraju pembangunan bioekonomi negara melalui dasar, pelaburan dan inovasi. Antara fokus utamanya termasuk menarik pelaburan, menyokong pertumbuhan syarikat bioteknologi, menggalakkan pengkomersialan produk berasaskan sains hayat, serta menjadi penghubung antara kerajaan, industri, penyelidik dan komuniti bagi memperkukuh ekosistem bioekonomi Malaysia.
Turut dikongsikan berkenaan Program Potongan Cukai Pendapatan bagi Program Integriti dan Anti-Rasuah di bawah Subseksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967 oleh YBrs. Ps Thilak Manusami (Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM). Inisiatif bersama SPRM dan Kementerian Kewangan (MOF) ini memberi potongan cukai kepada syarikat yang menganjurkan program pencegahan rasuah, integriti dan tadbir urus baik – termasuk latihan integriti, kempen kesedaran, pembangunan sistem pematuhan, dan program kolaborasi bersama SPRM.
YBrs. PKPj Wong Chiew Hoong, Ketua Unit Integriti MOSTI turut berkongsi mengenai Program Pengiktirafan kepada Penjawat Awam yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah serta Program Perlindungan Pemberi Maklumat. Inisiatif ini menggalakkan penjawat awam tampil membuat laporan rasmi dan sah kepada SPRM, di samping memperkukuh budaya integriti dalam perkhidmatan awam. Pengiktirafan diberikan kepada penjawat awam yang membuat laporan lengkap, tidak terlibat dalam perlakuan rasuah tersebut dan mengekalkan rekod disiplin yang baik sekali gus memberi keyakinan bahawa keberanian melaporkan salah laku sentiasa dilindungi, dihargai dan diiktiraf.
Platform libat urus ini menjadi ruang kondusif untuk pegawai berkongsi pengetahuan, pengalaman, cabaran dan amalan terbaik berkaitan integriti. Ia bukan sahaja memperkukuh rangkaian kerjasama antara agensi, malah meningkatkan keupayaan pegawai melaksanakan tugas dengan lebih telus, berkesan dan berintegriti. MOSTI komited menjadikan platform seperti ini sebagai medium berterusan untuk memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus baik di semua peringkat.
Skip to content