29 Julai 2025, Kuala Lumpur – Unit Integriti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengadakan sesi libat urus dan lawatan kerja ke Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Kuala Lumpur pada 29 Julai 2025.
Sesi ini diketuai oleh YBrs. Tuan PKPj Wong Chiew Hoong, Ketua Unit Integriti MOSTI, dan dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Ts. Hj. Mohammad Hazani Hj. Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC. Turut hadir adalah pegawai-pegawai yang berpengalaman dalam urusan integriti dan tadbir urus daripada MOSTI dan MTDC.
Perbincangan strategik ini menjadi platform penting antara Unit Integriti MOSTI dan MTDC bagi membincangkan langkah-langkah penambahbaikan keberkesanan serta kecekapan pelaksanaan tadbir urus dan integriti. Tumpuan turut diberikan kepada peranan MTDC sebagai syarikat milik penuh kerajaan (Government-Linked Company, GLC) dalam memastikan pengurusan kewangan dan dana yang telus serta berakauntabiliti.
Sesi ini turut menekankan keperluan MTDC memperkukuh ketelusan Pemilikan Benefisial (Beneficial Ownership, BO) dan menguruskan isu Konflik Kepentingan (Conflict of Interest, COI), di samping menangani tuntutan palsu dalam penyaluran peruntukan. Langkah-langkah ini penting bagi memperkasakan tadbir urus, meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan serta memperkukuh kedudukan teknologi tempatan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Selain itu, MTDC turut membentangkan struktur organisasi dan peranan strategik, termasuk: membiayai & mengkomersialkan teknologi tempatan, menyokong pembangunan syarikat teknologi & start-up, membangunkan ekosistem inovasi negara,meningkatkan daya saing industri tempatan, serta melahirkan bakat teknopreneur berdaya saing. SYABAS MTDC !!!