Skip to main content
Berita

Sesi Taklimat Program Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) MADANI MOSTI kepada Ahli Parlimen

28 Januari 2026, Kuala Lumpur – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, telah menghadiri Sesi Taklimat Program Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) MADANI bersama Ahli-Ahli Parlimen di Bangunan Parlimen pada hari ini sebagai usaha penerangan dan perkongsian maklumat berkaitan pelaksanaan Program STI MADANI yang bermula pada tahun 2025.

Program STI MADANI merupakan inisiatif bersepadu yang melibatkan kolaborasi strategik dan kerjasama berkesan antara MOSTI, agensi-agensi berkaitan serta jentera Pusat Khidmat Ahli Parlimen (PKAP) di kawasan masing-masing. Pendekatan ini bertujuan memastikan pelaksanaan program STI digerakkan secara inklusif, menyeluruh dan berimpak tinggi, khususnya di peringkat akar umbi. Program ini juga selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, khususnya tonggak Daya Cipta yang menekankan visi membudayakan penciptaan dalam kalangan masyarakat serta mengubah kecenderungan daripada pengguna kepada penyumbang aktif dalam revolusi digital dan teknologi.
Melalui Program STI MADANI, pelbagai inisiatif berkaitan STI/STEM dirancang dan dilaksanakan bagi menyokong usaha pembudayaan STI/STEM dalam kalangan semua lapisan masyarakat, merangkumi pelajar, belia, komuniti setempat serta kumpulan sasaran di kawasan Parlimen.
Taklimat telah disampaikan oleh YBrs. Encik Abdullah bin Daud, Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI. Sesi ini turut membuka ruang dialog dua hala antara MOSTI dan Ahli-Ahli Parlimen bagi mendapatkan pandangan, cadangan serta maklum balas berkaitan keperluan dan potensi pelaksanaan program STI/STEM di kawasan masing-masing.
Dengan adanya sesi ini, kerjasama erat antara semua pihak dapat diperkukuh, seterusnya memperluas capaian program dan memastikan manfaat STI/STEM dapat dinikmati secara langsung oleh rakyat, selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi (DSTIN) 2021–2030, khususnya dalam usaha mewujudkan masyarakat berminda saintifik.
Turut hadir ialah YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Ahli Parlimen Sekijang merangkap Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan; YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI; serta Ahli-Ahli Parlimen yang terlibat dalam pelaksanaan Program STI MADANI.
Skip to content