2 Disember 2024, Kuala Lumpur – Sidang Kemuncak Global I-Nation 2024 bermula hari ini dan akan berlangsung sehingga 4 Disember 2024 di Nexus, Connexion, Bangsar South, Kuala Lumpur. Acara ini menyatukan inovator global dan tempatan, pemimpin, pakar dalam pelbagai bidang, serta penggubal dasar untuk menangani cabaran kritikal melalui inovasi yang kolaboratif.
Dianjurkan oleh Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), sebuah agensi di bawah MOSTI, acara selama tiga hari ini bertemakan “Advancing Impactful Innovation Together”, bertujuan untuk menonjolkan perkembangan terkini merentasi pelbagai industri serta memupuk kerjasama untuk memacu kemajuan lestari.
Dengan komitmen teguh untuk meningkatkan peranan Malaysia dalam landskap teknologi global, I-Nation Global Summit 2024 memanfaatkan kerjasama antarabangsa dan tempatan untuk mewujudkan laluan bagi inovator Malaysia berhubung dengan ekosistem antarabangsa. Sidang kemuncak ini akan mempamerkan perkembangan terkini dan perbincangan dalam enam industri utama iaitu Teknologi 4IR, Teknologi Autonomi, Ketersambungan 5G, Sains Hayat, Teknologi Kesihatan & AgriTech, serta Kelestarian.
YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof dalam ucapan perasmiannya berkata: “Acara ini juga merupakan bukti aspirasi Malaysia untuk meningkatkan pengaruhnya dalam ASEAN dan di peringkat global, selaras dengan kerangka antarabangsa seperti Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) PBB dan agenda ASEAN untuk 2025,”
Sementara itu, YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menegaskan: “Sains, Teknologi, dan Inovasi memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang mampan dan inklusif untuk semua dan Malaysia bersedia untuk menerajui usaha ini menjelang kepengerusian ASEAN 2025.”