07 Oktober 2025, Kuala Lumpur – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah merasmikan Sidang Kemuncak Global I-Nation 2025, acara utama yang diterajui oleh MRANTI di bawah Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Kebangsaan (NICE 2025).
Turut memeriahkan majlis ini adalah YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI, YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBrs. Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBhg. Prof. Dr. Rofina Yasmin Othman, Pengerusi MRANTI dan YBhg. Datuk Wira Dr. Hj. Rais Hussin Hj. Mohamed Ariff, Ketua Pegawai Eksekutif, MRANTI.
YB Tuan Chang Lih Kang dalam ucapannya berkata, melalui I-Nation, Malaysia dapat menonjolkan kekuatan ekosistem inovasi kita di mana idea dapat diterjemahkan kepada penyelesaian berimpak serta membina jalinan kerjasama untuk masa depan negara. Sidang kemuncak ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk membina ekonomi inovasi yang berdaya tahan, menyasarkan 3.5% GERD menjelang 2030, 70% penyertaan industri dalam R&D, dan peningkatan 50% dalam teknologi tempatan yang menembusi pasaran global.
Berlangsung selama dua hari di WTCKL bermula 7 hingga 8 Oktober, I-Nation 2025 menghimpunkan penggubal dasar, penyelidik, usahawan, pelabur dan rakan antarabangsa bagi membincangkan hala tuju inovasi negara di bawah tema “Innovate. Commercialise. Lead.”
Sidang Kemuncak Global I-Nation 2025 dilihat sebagai pengukuhan semula usaha untuk memacu inovasi kepada impak sebenar, memperkukuh daya tahan ekonomi, dan memposisikan Malaysia sebagai landasan global untuk teknologi dan idea.