22 April 2024, Kuala Lumpur – YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Sidang Kemuncak KL20 2024 (KL20 Summit 2024) di Dewan Plenari, KLCC.
KL20 merupakan inisiatif utama Kerajaan untuk melonjakkan negara sebagai hab ekosistem syarikat pemula 20 terbaik di dunia dan menarik syarikat pemula dan pelabur antarabangsa ke Malaysia untuk pelaburan dan pengoperasian syarikat.
Sidang kemuncak itu bertindak sebagai platform perbincangan penting yang menemukan pembuat keputusan kerajaan, pengasas syarikat pemula gergasi (unicorn), pelabur besar dan pemikir di Kuala Lumpur, menjadikannya medan utama untuk perbincangan, debat dan membuat perjanjian.
KL20 menyerlahkan potensi Malaysia sebagai persekitaran yang kondusif untuk syarikat pemula, terutamanya dalam sektor utama seperti semikonduktor dan reka bentuk litar bersepadu, fintech, e-dagang, pembuatan dan automasi, agritech, cleantech dan kewangan Islam.
Persidangan selama dua (2) hari ini menampilkan barisan panel terkemuka, daripada pemimpin industri dan pelabur antarabangsa. Antara acara kemuncak KL20 menampilkan Pelan Tindakan KL20 yang akan menggariskan lebih 20 pembaharuan transformatif yang bakal melonjakkan ekosistem syarikat pemula tempatan yang melibatkan pembiaya/pelabur, pengasas syarikat pemula dan bakat (tech-talent).
Esok, 23 April 2024, YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi akan melancarkan Tetingkap Tunggal Ekosistem Startup Malaysia (MYStartup Single Window Platform Launch) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk membantu ekosistem permulaan Malaysia dengan memudahkan prosedur dan menyatukan sumber dalam platform tunggal.
Untuk maklumat lanjut, layari https://www.kl20.gov.my