18 April 2025, Selangor – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bersama YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah mengadakan Sidang Media berkaitan Projek MyGenom. Hadir sama YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI; YBhg. Datuk Dr Nor Fariza binti Ngah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), KKM dan YBhg. Prof. Datuk Wira Dr. Raha binti Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM).
Satu sesi pemberian sampel darah oleh YB Tuan Chang Lih Kang dan YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly telah dijalankan sebelum sidang media sebagai tanda komitmen terhadap inisiatif Projek MyGenom.
Projek MyGenom yang telah dilancarkan pada bulan Ogos 2024 ini merupakan kerjasama strategik antara MOSTI dan KKM yang melibatkan pakar-pakar dari IMR (NIH) dan NIBM. Inisiatif ini merupakan manifestasi komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh daya tahan sistem kesihatan, memperluas capaian kepada perubatan berasaskan data, dan memastikan kesaksamaan dalam penjagaan kesihatan.
Projek MyGenom bertujuan untuk menjujuk genom individu rakyat Malaysia yang sihat serta membangunkan โgenom rujukanโ negara. Inisiatif ini juga bertujuan mencirikan variasi genetik pelbagai kumpulan etnik di Malaysia. Melalui penjujukan dan analisis genom ini, kita dapat memahami kepelbagaian genetik populasi secara menyeluruh. Pengetahuan ini amat penting sebagai asas kepada pelaksanaan perubatan jitu di Malaysia yang berpotensi merevolusikan pendekatan rawatan kesihatan berasaskan profil genetik individu dan menyokong pembangunan diagnostik, farmakogenomik dan rawatan bersasar.
Sehingga kini, sebanyak 2,000 peserta telah menyertai Projek MyGenom Fasa 1 dan 500 genom pertama telah berjaya dijujuk. Sasaran penuh bagi Fasa 1 ialah penjujukan 2,400 genom yang dijangka dicapai menjelang penghujung tahun 2025 sebelum beralih ke Fasa 2 dengan sasaran kumulatif sebanyak 10,000 genom.
Proses pensampelan dilaksanakan oleh KKM melalui pusat-pusat pengambilan darah, lokasi berkala dan lokasi sasaran yang terpilih. Manakala aktiviti pengekstrakan DNA, kawalan kualiti, penjujukan dan analisis dilaksanakan oleh pasukan MOSTI melalui fasiliti di Malaysia Genome and Vaccine Institute (MGVI), NIBM.
Selain sumbangannya kepada kesihatan awam, MyGenom juga membuka ruang luas kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang genomik, bioteknologi dan analitik data, selaras dengan agenda Kerajaan MADANI untuk menjadikan rakyat sebagai teras kemajuan melalui ilmu, kepakaran dan teknologi.
โ๐๐ช๐ง ๐ฟ๐๐ซ๐๐ง๐จ๐๐ฉ๐ฎ, ๐๐ช๐ง ๐๐๐ฃ๐๐จ, ๐๐ช๐ง ๐๐ช๐ฉ๐ช๐ง๐โ