4 Julai 2023, Kuala Lumpur – Hari ini telah berlangsung Sidang Media bersama YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi mengenai Program INNOVATHON yang bakal bersiaran bermula 15 Julai 2023.
Inisiatif bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi dengan kerjasama Astro. ‘INNOVATHON’ merupakan pertandingan realiti berteraskan sains, teknologi dan inovasi dalam memaparkan skil dan idea inovatif dalam kalangan rakyat Malaysia bagi mencari penyelesaian isu sosiekonomi.
Pertandingan yang buat julung kali diterbitkan secara besar-besaran menerusi Astro menyaksikan seramai 1,033 penyertaan dari seluruh negara. Peserta termuda berusia 7 tahun manakala yang tertua pula berusia 73 tahun.
Sebanyak 56 idea daripada pelbagai lapisan masyarakat telah dipilih menerusi sesi uji bakat yang menyaksikan peserta berentap menerusi program ‘INNOVATHON’ yang bakal bersiaran sebanyak 8 episod. Setiap episod akan menyaksikan peserta cuba memenangi hati panel juri dan juga rakyat Malaysia.
‘INNOVATHON’ akan ditayangkan setiap hari Sabtu bermula 15 Julai 2023, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (Saluran 104). Manakala program ini akan bersiaran menerusi saluran-saluran vernakular yang lain termasuk Astro SHOWCASE, Astro Vinmeen dan Astro AEC dua minggu sejurus sahaja tayangan perdana di Astro Ria.
Rancangan ini bakal dikemudikan oleh Awal Ashaari dan Datin Lisa Surihani, manakala Datuk Aznil Hj. Nawawi pula bergelar Mentor ‘INNOVATHON’ yang bakal membimbing dan memberi motivasi kepada peserta-peserta pertandingan realiti ini.