Skip to main content
Berita

Simposium Pengkomersialan Teknologi R&D Tempatan Tahun 2026

23 November 2026, Bukit Jalil – Simposium Pengkomersialan Teknologi R&D Tempatan Tahun 2026 telah berlangsung di The Chatterbox, HIVE 5, MRANTI, Bukit Jalil. Program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama MRANTI selaku urus setia telah dihadiri seramai 42 orang wakil kementerian, jabatan, agensi dan institusi pengajian tinggi (IPT), termasuk universiti yang terlibat dalam pemindahan dan pengkomersialan teknologi.
Program dimulakan dengan taklimat mengenai landskap dan inisiatif pengkomersialan R&D di bawah Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan R&D (PTK), MOSTI yang merangkumi National Technology and Innovation Sandbox (NTIS), iaitu pemudah cara pengujian dan pengesahan teknologi dalam persekitaran sebenar; Program MySTI yang menggalakkan penggunaan barangan dan perkhidmatan hasil R&D tempatan dalam perolehan kerajaan serta dana pengkomersialan MOSTI. Peserta turut diperkenalkan kepada Commercialisation Single Access (CSA) dan MATCH.
Sesi CSA merupakan susulan kepada taklimat MOSTI yang diadakan pada awal tahun ini. Peserta mengikuti demonstrasi penggunaan portal CSA dan bengkel aplikasi “Dari Konsep ke Pelaksanaan” yang dikendalikan oleh MRANTI selaku Agensi Pemecut Pengkomersialan Teknologi (Technology Commercialisation Accelerator, TCA).
Simposium ini bertujuan memperkukuh pemahaman dan jaringan kerjasama antara pemegang taruh, di samping menggalakkan pemanfaatan inisiatif serta fasilitasi MOSTI bagi mempercepat pemindahan dan pengkomersialan hasil R&D tempatan.
Skip to content