KOTA KINABALU (30 OGOS, 2012): Taklimat Bioekonomi Dalam Koridor Pembangunan Sabah telah dianjurkan bersama oleh agensi MOSTI, BiotechCorp, dan Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) hari ini yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Aman.
Sempena majlis tersebut, beberapa pertukaran dokumen turut diadakan yang berkaitan dengan program bioekonomi di Sabah. Ia merangkumi dokumen perjanjian kerjasama di antara SEDIA dan BiotechCorp, pertukaran dokumen perjanjian di antara SEDIA, BiotechCorp dan Terra Garden Biotech, dokumen kerjasama Projek Lembah Danum di antara National Institutes of Biotechnology Malaysia NIBM, Yayasan Sabah dan Universiti Malaysia Sabah UMS serta penyerahan rasmi Repository Data Genom Kera Proboscis oleh Institute Genome Malaysia mewakili MOSTI kepada UMS .
Bioekonomi adalah satu strategi pemacuan ekonomi yang holistik berasaskan prinsip kelestarian, sebagai kesinambungan kepada Dasar Bioteknologi Negara atau DBN yang telah diselaraskan dengan strategi-strategi transformasi ekonomi negara.
Inisiatif bioekonomi bertujuan untuk memastikan strategi pembangunan bioteknologi negara terus menyokong hasrat Malaysia untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.
Program transformasi bioekonomi (BTP) ini dirangka supaya ia dapat membawa keberhasilan jangka panjang dan lestari kepada ekonomi, produktiviti, daya saing dan kesejahteraan rakyat. Antara sasaran awal BTP adalah penjanaan Pendapatan Negara Kasar sejumlah RM3.6bil, sekurang-kurangnya RM10bil dalam pelaburan dan lebih 16,000 peluang pekerjaan pendapatan tinggi menjelang 2020, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili.
Sejak pelancaran DBN negara pada tahun 2005, industri bioteknologi negara telah berkembang dan beralih dari fasa pertama (pembinaan kapasiti) ke fasa terkini (pengkomersilan produk industri bioteknologi). Lebih 210 syarikat telah dianugerahkan status bionexus dengan jumlah pelaburan yang diluluskan bernilai lebih daripada RM2 bil.
“Jumlah syarikat bionexus ini termasuk juga syarikat-syarikat dari negeri Sabah dan kami yakin bilangan ini akan bertambah lagi, hasil daripada pelaburan dan pembangunan bioekonomi yang akan dimeterai di majlis hari ini,” kata Datuk Seri Panglima Dr Maximus.
Tambah beliau, negeri Sabah dan Sarawak yang kaya dengan sumber bio amat sesuai sebagai pemangkin untuk membangunkan bioekonomi negara.
Perjanjian kerjasama di antara biotechcorp dengan SEDIA merangkumi beberapa sektor utama bioekonomi yang berteraskan bioteknologi.
Perjanjian kerjasama di antara biotechcorp dengan SEDIA merangkumi beberapa sektor utama bioekonomi yang berteraskan bioteknologi.
Kerjasama dalam sektor bioteknologi pertanian yang akan merangkumi pembangunaan bersama tanaman iklim sederhana di Kundasang; projek akuakultur di Semporna dan Kudat, serta pembangunan bersama rantaian tanaman makanan premium dengan platform bioteknologi termoden di Sabah Agro-Industrial Precinct (SAIP).
Antara cadangan dalam pembangunan bioteknologi industri adalah pembangunan bersama kompleks biorefineri di Palm Oil Industrial Cluster di Sandakan; perjanjian dengan Sawit Kinabalu Sdn Bhd untuk pembekalan biomas sawit kepada kompleks biorefineri; pembangunan bersama kompleks biorefineri berasaskan sumber kayu dan hutan di Lahad Datu; dan cadangan perjanjian bersama Sabah Softwoods Bhd untuk bekalan biomas. Pertukaran dokumen antara SEDIA, BiotechCorp dan syarikat bionexus Terra Garden Biotech pula berkait projek penanaman secara komersial pokok betik di Sabah.
Bagi sektor bioteknologi penjagaan kesihatan, projek bersama Desa Cattle (S) Sdn Bhd dan Sawit Kinabalu di SAIP dicadangkan merangkumi penerokaan pembangunan bovine low molecular weight heparin halal yang merupakan sejenis produk farmasutikal nilai tinggi.
Datuk Seri Panglima Dr Maximus yakin bahawa projek-projek yang dilancarkan akan dapat melihat peningkatan bilangan syarikat bionexus yang beroperasi di Sabah.
Beliau juga berkata bahawa pemeteraian perkongsian penyelidikan penerokaan Lembah Danum di antara National Institutes of Biotechnology Malaysia, Yayasan Sabah, FRIM dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) melibatkan penyelidikan perintis yang akan mewujudkan aktiviti bioprospek daripada sumber biodiversiti kawasan tersebut yang dilakukan secara sistematik.
Program fasa pertama, yang akan dilaksanakan dari bulan November melalui dana MOSTI sebanyak RM1juta akan membina landasan untuk program pembangunan secara lestari produk bioteknologi farmaseutikal bernilai tinggi dan industri hasil daripada sumber biodiversiti dari Lembah Danum dengan fokus kepada sumber serangga.
Antara hasil yang disasarkan dalam kerjasama ini adalah profil awal taburan sumber biodiversiti serta pembangunan repositori sampel biodiversiti di hutan Lembah Danum dengan repositori kembar di IPharm, NIBM.
Antara khazanah negeri Sabah dan Sarawak adalah spesis fauna unik yang perlu dikaji secara terperinci untuk membangunkan strategi konservasi dan pemuliharaan menggunakan kaedah termoden dan berlandaskan pengetahuan.
“Sebagai satu usaha ke arah ini, MOSTI sukacita memaklumkan bahawa penjujukan (sequencing) genom kera proboscis telah berjaya disempurnakan” kata Datuk Seri Panglima Dr Maximus mengenai penyerahan data dan repositori genom ini kepada kumpulan penyelidik yang diwakili oleh UMS. Penjujukan genom Proboscis telah dilaksanakan oleh The Malaysian Genome Resource Centre (MGRC), syarikat bioinformatik berstatus Bionexus yang disenarai di bursa saham Malaysia dengan kerjasama Malaysian Genom Institute (MGI) NIBM.
Data ini akan dimanfaatkan oleh semua penyelidik melalui pembentukan konsortium genom berfungsi proboscis yang akan dianggotai oleh para penyelidik UMS, Unimas, MGI, Jabatan Perhilitan Sabah, Sabah Biodiversity Centre, Sarawak Biodiversity Centre dan MGRC. “Maklumat ini bakal digunakan untuk memahami dengan lebih mendalam ciri-ciri kera yang hampir pupus ini agar satu strategi pemuliharaan dapat direka,” kata Datuk Seri Panglima Dr Maximus.
Antara tetamu kenamaan yang turut serta di majlis taklimat yang dihadiri lebih 200 peserta ini termasuk YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur, YB Datuk Johnny Mositun Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, YB Datuk Seri Panglima Hj Yahya Hussin, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, YB Datuk Peter Pang En Yin, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Prof Emeritus Dato’ Dr Zakri A. Hamid, Penasihat Sains kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Biotechcorp dan beberapa pembantu menteri negeri.
Majlis perasmian diikuti dengan taklimat pembangunan program-program BIM dan SDC oleh KPE BiotechCorp Dato’ Dr. Mohd Nazlee Kamal dan Naib Presiden SEDIA, Puan Mary Sintoh.