14 Ogos 2024, Selangor – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah merasmikan The 2nd Biochar Malaysia Association International Conference 2024 (BMAIC2024) di Auditorium Rashdan Baba, Universiti Putra Malaysia.
Persidangan ini merupakan anjuran Persatuan Biochar Malaysia dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia yang juga melibatkan Universiti Malaya dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Bertemakan ‘Exploring Sustainable Solutions for Agriculture & Environment”, persidangan ini merupakan platform bagi para penyelidik serta pihak yang berminat mengetahui penghasilan serta kegunaan biochar dalam pertanian serta alam sekitar. Persidangan antarabangsa ini juga menyaksikan pembentangan kertas kerja daripada peserta tempatan dan juga luar negara dari negara Amerika Syarikat, Australia, India, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Singapura dan Pakistan.
Biochar ialah satu bentuk arang yang dihasilkan dengan memanaskan bahan organik (seperti bahan tumbuhan atau sisa pertanian) dalam persekitaran oksigen rendah. Proses ini, yang dikenali sebagai pirolisis, menguraikan bahan organik dan mengubahnya menjadi bahan kaya karbon yang stabil. Biochar dianggap sebagai satu bentuk teknologi hijau kerana faedah kepada alam sekitar dan aplikasi yang mampan.