Skip to main content
Berita

Timbalan Menteri MOSTI Merasmikan Sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2014 serta Pejabat Meteorologi Melaka

By 2014-03-23Disember 14th, 2020No Comments

UKK_8958-2

 

MELAKA (23 Mac 2014): Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah hari ini telah melancarkan Hari Meteorologi Sedunia 2014 bertemakan Cuaca dan Iklim: Penglibatan Belia.

Di majlis yang sama, beliau turut merasmikan Pejabat Meteorologi Melaka yang terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam.

Hari Meteorologi Sedunia disambut pada 23 Mac setiap tahun dan tema tahun ini memberi penekanan terhadap kepentingan generasi muda sebagai golongan pelapis di masa hadapan. Di kala generasi ini membuat persediaan menghadapi perubahan cuaca dan iklim, mereka perlu memainkan peranan aktif dalam memantau, memahami dan memberi respon terhadap cuaca dan iklim negara pada ketika ini dan masa hadapan.

Pencerapan cuaca di Melaka oleh Jabatan Meteorologi telah bermula sejak tahun 1968 di tapak lama berhampiran terminal Lapangan Terbang dahulu. Berikutan penaiktarafan lapangan terbang terbabit menjadi Lapangan Terbang bertaraf Antarabangsa, maka Pejabat baru terpaksa dibina ditapak baru dimana kerja-kerja pembinaan telah dimulakan pada 2007 dan siap sepenuhnya pada 2009.

Dalam usaha mempertingkatkan keselamatan dan kelancaran operasi penerbangan di Lapangan Terbang ini, maka Pejabat Meteorologi Melaka telah dilengkapi dengan peralatan pemonitoran cuaca dan komunikasi yang canggih dan terkini, serta mematuhi piawaian antarabangsa.

“Berdasarkan fenomena cuaca kering yang melanda Semenanjung Malaysia baru-baru ini, Melaka merupakan negeri yang paling kering berbanding negeri-negeri lain dengan tidak menerima hujan melebihi 60 hari berturut-turut bermula pada Januari sehingga pertengahan bulan ini”, kata Datuk Abu Bakar Mohamad Diah.

Beliau menegaskan bahawa maklumat cuaca dan iklim sebegini yang dicerap dan dibekalkan oleh Pejabat Meteorologi Melaka sedikit sebanyak akan dapat membantu para petani, penternak dan pengendali bekalan air mengurus serta merancang aktiviti mereka dengan lebih berkesan.

Sempena sambutan Hari Meteorologi Sedunia dan perasmian Pejabat baru ini, pelbagai aktiviti dan pameran diadakan dengan penglibatan pelajar-pelajar sekolah, mahasiswa dan pelbagai agensi kerajaan. Turut diadakan adalah pertandingan mewarna dan melukis dimana hadiah-hadiah kepada pemenang telah disampaikan sendiri oleh YB Timbalan Menteri.