Skip to main content
Berita

Ucaptama YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Sempena Seminar Exploration, Thorium & Rare-Earth (XTHREE) 2025

03 November 2025, Putrajaya – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah menyampaikan ucaptama bertajuk “Pioneering Malaysia’s Mining and Revolutionary Science: Charting the Future of Critical Materials” bersempena Seminar Exploration, Thorium & Rare-Earth (XThREE) 2025 yang berlangsung di Marriott Putrajaya International Convention Centre (MPICC), Putrajaya.

Dalam ucapannya, YBhg. Datuk Seri menekankan peranan penting Malaysia dalam membangunkan ekosistem unsur nadir bumi (Rare Earth Elements, REE) dan thorium secara mampan berasaskan sains, teknologi dan inovasi (STI). Pendekatan secara whole-of-government sedang dilaksanakan melalui Pasukan Petugas Khas Pembangunan Industri REE yang melibatkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) , Kementerian Kewangan (MOF) serta Kementerian Ekonomi (KE) bagi memastikan amalan perlombongan dilaksanakan secara lestari, mematuhi peraturan, serta disokong oleh pelaburan dan penyelidikan (R&D) yang kukuh.
YBhg. Datuk Seri turut menegaskan bahawa hala tuju negara ke hadapan akan memberi tumpuan kepada integrasi rantaian nilai, pemacuan teknologi dan inovasi, pembangunan bakat, pengukuhan kerjasama Persekutuan–Negeri, penerapan kepimpinan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) serta pemantapan kedudukan global dan perkongsian strategik Malaysia dalam bidang bahan kritikal.
Penyelarasan dasar dan strategi nasional turut diperkukuh melalui pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Transformasi Industri Mineral Nasional (TIM 2021–2030) serta Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Negara (NAMT 2021–2030). Kesemua dasar ini saling melengkapi dalam meletakkan REE sebagai pemacu strategik kepada transformasi industri dan ekonomi negara.
Seiring dengan itu, MOSTI terus memperkukuh pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik, termasuk National Advanced Materials Consortium (NAMC), pembiayaan Strategic Research Fund (SRF) serta Moonshot Programme, bagi mempercepat pembangunan teknologi REE tempatan merentasi keseluruhan rantaian penyelidikan, pengkomersialan dan pembangunan bakat.
Skip to content