Skip to main content
Berita

UKUR KELEMBAPAN PADI, BERAS DI MAKMAL METROLOGI KEBANGSAAN SIRIM, DAPAT KURANGKAN KERUGIAN PETANI

By 2015-05-20Mac 9th, 2017No Comments

SEPANG, 20 Mei – Makmal Metrologi Kebangsaan, SIRIM (NML-SIRIM) bersedia membantu petani mengurangkan kerugian semasa proses penetapan kadar potongan harga berikutan hasil padi dan beras yang lembap melalui kemudahan bahan rujukan Pengukuran Kelembapan Padi dan Beras.

Bahan rujukan kelembapan padi dan beras yang dibangunkan oleh NML-SIRIM ini boleh ditawarkan bagi kerja-kerja menentukur (calibration) dan menentusahkan (verification) meter alat pengukur kelembapan padi dan beras oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Kooperasi.

Perkhidmatan tentukuran kelembapan beras oleh NML-SIRIM juga diperluaskan kepada agensi-agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan kualiti padi dan beras negara seperti Beras Nasional (BERNAS), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), pengilang-pengilang beras, pemborong-pemborong beras dan persatuan-persatuan petani.
Pengukuran kelembapan bagi padi dan beras adalah sangat kritikal kerana kandungan kelembapan akan memberi kesan kepada hasil penuaian, simpanan, hasil pengilangan, dan kualiti beras yang dipasarkan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr. Ewon Ebin berkata, melalui bahan rujukan Pengukuran Kelembapan Padi dan Beras, urus niaga akan menjadi lebih adil dan menjamin kualiti beras yang diterima oleh pengguna, serta dapat menangani pertikaian harga antara petani dan pemborong.

“Penggunaan meter dan alat timbang kelembapan beras yang telah dilulus, ditentusah dan dimeterai boleh mengembalikan keyakinan dan mengurangkan konflik,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah sempena sambutan Hari Metrologi Sedunia di Makmal Metrologi Kebangsaan SIRIM di sini. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha MOSTI Dato’ Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur, Presiden dan Ketua Eksekutif SIRIM Berhad Dato’ Dr. Zainal Abidin Mohd Yusof serta Pengarah International Bureau of Weight and Measure (BIPM) Dr. Martin Milton.

Satu lagi perkhidmatan tentukuran terbaru NML-SIRIM adalah tentukuran bagi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), yang telah dibangunkan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sistem perkhidmatan tentukuran yang dibangunkan oleh NML-SIRIM adalah setanding dengan negara-negara maju bagi menjamin ketelusan dan mematuhi keperluan kebolehkesanan pengukuran kepada unit SI seperti yang ditetapkan oleh Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007. Sistem ini dapat membantu kerja-kerja tentukuran dan verifikasi terhadap semua sistem AES untuk penguatkuasaan undang-undang oleh JPJ dengan lebih berkesan. Semua kerja-kerja penguatkuasaan oleh JPJ adalah berlandaskan Warta Kerajaan Persekutuan bagi Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan (Kesalahan Yang Dirakamkan Melalui Kamera) 2012.

Perkhidmatan yang sama juga boleh digunakan untuk kerja-kerja kalibrasi sistem rakaman kesalahan memandu melalui kamera yang mungkin digunakan oleh pihak-pihak berkuasa tempatan yang memerlukan kebolehkesanan kepada NML-SIRIM. Di antaranya termasuklah semua majlis perbandaran yang terlibat dalam menjalankan penguatkuasaan undang-undang kepada kenderaan awam.

Presiden dan Ketua Eksekutif SIRIM Berhad Dato’ Dr Zainal Abidin Mohd Yusof dalam ucapannya berkata NML-SIRIM akan terus menyebarkan dan menggalakkan parameter pengukuran dan teknologi di negara ini termasuk menyediakan perkhidmatan penentukuran bagi standard pengukuran, dan perkhidmatan perundingan bagi projek pengukuran khusus selain menyediakan latihan mengenai teknik pengukuran.

“Di bawah perancangan baru, NML-SIRIM telah ditugaskan dengan pelbagai projek di bawah pembiayaan penyelidikan untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutama bagi teknik dan standard pengukuran kepersisan tinggi,” katanya.

Antara aktiviti yang akan dilaksanakan adalah kelulusan rekabentuk/jenis kelulusan bagi peralatan mengukur barangan perdagangan, menyediakan perkhidmatan pengesahan tentukuran metrologi perundangan, serta penentusahan peralatan perdagangan dan pemindahan pemilikan.

Bertemakan “Measurements and Light” (Pengukuran dan Cahaya), Hari Metrologi Sedunia disambut secara serentak dengan 17 negara lain untuk memperingati Konvensyen Meter pada 20 Mei 1875. Menyasarkan kepada keseragaman pengukuran sedunia, Konvensyen Meter juga membentuk satu rangka kerjasama antarabangsa dalam bidang sains pengukuran kepada industri yang berkaitan.

Pada hari terbuka NML-SIRIM sempena sambutan Hari Metrologi Sedunia, pengunjung berpeluang menyaksikan aktiviti metrologi antaranya mengukur ketumpatan emas sebenar dengan menggunakan bahan rujukan sah bagi emas yang dibangunkan oleh NML-SIRIM, serta mendapat ukuran berat badan sebenar dengan menggunakan mesin penimbang paling tepat yang dikendalikan oleh ahli metrologi.

Skip to content