Skip to main content
Berita

YB Khairy Jamaluddin dan YB Tuan Haji Ahmad Amzad Hashim bersama Ketua Setiausaha MOSTI dan Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI melakukan lawatan kerja ke KIMIA Malaysia.

Purajaya, 17 Jun 2020 – Berpegang teguh kepada slogan “Kami Adalah Sebahagian Daripada Hidup Anda”, Jabatan Kimia Malaysia (KIMIA Malaysia) yang merupakan sebuah agensi di bawah MOSTI telah ditubuhkan pada tahun 1909 di Pulau Pinang dan menyambut ulang tahun ke 111 pada tahun ini.

KIMIA Malaysia diwujudkan sebagai ‘third party agency’, dalam memberikan khidmat analisis saintifik untuk tujuan penguatkuasaan undang-undang, melindungi pendapatan kerajaan, melindungi pengguna, keselamatan air minum, makanan dan alam sekitar serta menyediakan perkhidmatan forensik yang bebas dan berkecuali.

Hari ini YB Khairy Jamaluddin dan YB Tuan Haji Ahmad Amzad Hashim bersama Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir dan Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI, YBrs. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan meluangkan masa melakukan lawatan kerja ke KIMIA Malaysia.

Dalam lawatan kerja tersebut delegasi telah dibawa untuk melawat ke makmal-makmal analisis yang dilengkapi dengan peralatan moden dan canggih. Kecanggihan teknologi peralatan analisis yang dimiliki oleh KIMIA Malaysia selaras dengan arus modenisasi IR 4.0. Kemampanan bidang analisis terus dipacu dengan adanya pegawai yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing serta telah diiktiraf diperingkat asia mahupun dunia.