Skip to main content
Berita

YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Menerima Kunjungan Hormat Daripada delegasi Jepun

29 Julai 2024, Putrajaya – YB Chang Lih Kang, telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jepun yang diketuai oleh Encik Tokai Kisaburo, Chairperson of the Policy Research Council, Liberal Democratic Party (LDP).
Kunjungan hormat ini turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari MOSTI dan agensi-agensi yang bernaung di bawahnya, termasuklah Setiausaha Bahagian Dana, Setiausaha Bahagian Antarabangsa, Ketua Pegawai Eksekutif daripada Akademi Sains Malaysia dan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), serta pegawai kanan dari Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).
Perbincangan menekankan hubungan diplomatik yang telah lama terjalin dan kekal kukuh antara Malaysia dan Jepun, dengan fokus kepada pengukuhan kerjasama sedia ada dan penerokaan peluang-peluang baharu dalam bidang sains, teknologi, dan inovasi (STI). Bidang keutamaan yang menjadi tumpuan MOSTI pada tahun ini, seperti ekonomi hidrogen, kecerdasan buatan (AI), bioteknologi (khususnya keselamatan makanan dan precision medicine), ekosistem startup, dan teknologi angkasa lepas turut dibincangkan.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dua hala dalam pembangunan kapasiti dan bakat, penyelidikan bersama dan kerjasama teknikal dalam bidang startegik STI termasuk tenaga boleh diperbaharui, bahan termaju, teknologi hidrogen, nanoteknologi, pembangunan bakat, dan kerjasama teknologi. Kedua-dua negara juga menekankan kepentingan usaha sama dalam teknologi angkasa lepas, teknologi nuklear, teknologi hidrogen dan ekosistem startup STI yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Skip to content