Skip to main content
Berita

YBM MOSTI Telah Menerima Kunjungan Hormat Daripada Pengerusi Majlis Universiti dan Ahli Akademi Sains China di Universiti Xiamen

26 Februari 2025, Kuala Lumpur – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menerima kunjungan hormat di Parlimen Malaysia daripada Profesor Zhang Rong, Pengerusi Majlis Universiti dan Ahli Akademi Sains China di Universiti Xiamen, bersama delegasi dari Universiti Xiamen dan Universiti Xiamen Malaysia.
YB Tuan Chang Lih Kang diiringi oleh beberapa pegawai utama, termasuk YBrs. Dr. Radin Zulhazmi bin Radin Abdul Halim, Timbalan Setiausaha Bahagian Teknologi Strategik dan Aplikasi S&T MOSTI; YBrs. Dr. Rezal Khairi Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Berhad; YBrs. Dr. Saat Shukri Embong, Pemangku Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Berhad; Puan Dharshene Rajayah, Ketua Hal Ehwal Antarabangsa dan Komunikasi, Akademi Sains Malaysia; dan Puan Chan Foh Ching, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Antarabangsa MOSTI.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak menyatakan hasrat untuk memperkukuh kerjasama dalam pembangunan bakat dan penyelidikan saintifik, terutamanya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, teknologi nano, teknologi digital, dan teknologi angkasa. YB Tuan Chang Lih Kang menekankan bahawa Malaysia boleh mendapat manfaat dengan mempelajari dari pengalaman China dalam mengkomersialkan produk R&D dan memajukan pembangunan bakat, dengan fokus khusus ke atas teknologi baru muncul.
Universiti Xiamen memaklumkan bahawa ia telah bekerjasama rapat dengan Universiti Malaya, terutamanya melalui penubuhan China-Malaysia Institute for Advanced Studies. Seterusnya, Universiti Xiamen menyatakan sokongan berterusan terhadap kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, dan mengiktiraf MOSTI sebagai rakan kolaborasi penting dalam bidang sains, teknologi, dan inovasi.
Skip to content