PENGENALAN
Teknologi nuklear memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor sosioekonomi negara hari ini, terutamanya dalam sektor perindustrian, kesihatan, makanan dan pertanian, pengurusan air serta perlindungan alam sekitar.
Bagi memperkukuhkan penggunaan teknologi ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Chang Lih Kang telah melancarkan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 pada 20 September 2023. DTNN 2030 adalah merupakan inisiatif strategik pertama Kerajaan Malaysia untuk mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear secara aman ke arah mempertingkatkan daya saing industri, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memulihara sumber asli dan alam sekitar.
Pelaksanaan DTNN 2030 di bawah tadbir urus MOSTI yang bertindak sebagai kementerian yang menerajui pelaksanaan dasar ini dan merangka pembangunan berkaitan sains dan teknologi nuklear. Manakala Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) bertindak sebagai agensi penyelaras untuk platform kerjasama kebangsaan termasuk projek strategik berkaitan teknologi nuklear.
Selaras dengan itu, Nuklear Malaysia diamanahkan sebagai peneraju bagi Jawatankuasa Teknikal Teknologi Nuklear Kebangsaan, dengan keahlian pakar teknikal daripada agensi kerajaan yang berkaitan, institusi berasaskan negeri, pengawal selia, sektor swasta dan ahli akademik. Jawatankuasa ini berperanan untuk menyelaras, meneliti serta menasihati aspek teknikal berkaitan teknologi nuklear dalam pelaksanaan DTNN 2030.