Skip to main content
BeritaGeneral

Kunjungan Hormat ke atas YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi oleh TYT Duta Besar Republik Persekutuan Brazil ke Malaysia

23 Oktober 2025, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menerima kunjungan hormat daripada Puan Yang Terutama (PYT) Daniella Ortega de Paiva Menezes, Duta Besar Republik Persekutuan Brazil ke Malaysia, yang menandakan satu langkah penting ke arah memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI). TYT Duta diiringi oleh Encik Luiz Guilherme Costa Koury, First Secretary (Sektor Politik).

Antara yang hadir termasuk wakil daripada Bahagian Antarabangsa dan MIMOS Berhad. Sepanjang pertemuan tersebut, kedua-dua pihak telah memperteguhkan komitmen kerjasama dua hala dalam bidang STI sempena lawatan rasmi Presiden Republik Persekutuan Brazil, Tuan Yang Terutama Luiz Inácio Lula da Silva ke Malaysia.
Perbincangan kedua-dua pihak menzahirkan kemajuan pesat dalam pelbagai projek bersama, khususnya dalam bidang semikonduktor, aeroangkasa dan bioekonomi.
Kerjasama ini berdasarkan kepada hubungan diplomatik antara Presiden Lula dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada November 2024, selepas Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro.
Duta Besar Brazil ke Malaysia menzahirkan penghargaan atas kemajuan kerjasama yang telah dicapai dalam tempoh singkat, dan menyatakan komitmen Brazil untuk terus memperluas kerjasama dalam bidang peralihan tenaga, pembangunan bakat dan penyelidikan teknologi termaju. Malaysia turut mengalu-alukan inisiatif ini, memandangkan Brazil merupakan negara terkehadapan dalam inovasi di rantau Amerika Latin serta mempunyai kepakaran dalam teknologi bahan api-bio dan aeroangkasa.
Selain itu, Presiden Lula akan merasmikan Meja Bulat Perniagaan Malaysia–Brazil di Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025, yang akan menghimpunkan pemimpin industri dan syarikat utama dari kedua-dua negara. Antara peserta utama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Embraer, syarikat penerbangan dan teknologi aeroangkasa terkemuka Brazil, yang sedang meneroka potensi pelaburan serta kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan Malaysia.
Langkah ini dijangka dapat membuka peluang pekerjaan baharu dan memperkukuh keupayaan teknikal tempatan.
Kedua-dua negara turut menzahirkan hasrat untuk memperkukuh hubungan di bawah kerangka BRICS, dengan Malaysia dijangka menjadi ahli baharu pada Januari 2026. Kerjasama ini dijangka akan memperluas potensi pembangunan ekonomi, teknologi dan inovasi kedua-dua negara serta mempererat hubungan persahabatan Malaysia–Brazil.
Skip to content