Skip to main content
Arkib

MAJLIS APRESIASI MESTECC 2019

By 2019-03-13April 19th, 2020No Comments

Seramai 450 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) serta 110 orang pesara dan bakal pesara diraikan dalam Majlis Apresiasi MESTECC 2019 yang diadakan pada 7 Mac 2019 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Majlis telah disempurnakan oleh YB Puan Yeo Bee Yin (Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) dan YB Puan Isnaraissah Munirah Majlis (Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim). Yang turut hadir ialah YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Azhar Hj. Yahaya (Ketua Setiausaha, MESTECC), YBrs. Puan Noor Afifah Abdul Razak [Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga), MESTECC], YBrs. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu [Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar dan Perubahan Iklim)] dan Ketua-ketua Jabatan.

Majlis Apresiasi MESTECC 2019 adalah bertemakan Kuasai. Laksana. Ungguli. (Own It. Do It. Ace It.), yang merujuk pada manifestasi kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan MESTECC kepada pemegang taruh (stakeholders) dan rakyat agar dapat melahirkan pegawai yang meletakkan kualiti perkhidmatan pada tahap tertinggi.

YB Menteri dalam ucapannya menyatakan penghargaan terhadap kepada para penerima APC, pesara dan bakal pesara yang memberikan sumbangan, jasa dan khidmat bakti kepada kementerian, negara dan rakyat. YB Menteri juga berharap agar semua warga MESTECC terus membudayakan nilai-nilai Integriti, Cemerlang dan Fokus Masa Depan. Warga MESTECC juga diseur agar sentiasa melakukan yang terbaik dalam setiap tanggungjawab yang diamanahkan terutamanya dalam memenuhi matlamat MESTECC bagi tahun 2019. Di samping itu, sumbangan dan usaha para pesara dan bakal pesara akan terus dikenang dan YB Menteri berharap agar mereka dikurniakan kesihatan yang baik serta rezeki yang berpanjangan.

Skip to content