Skip to main content
Berita

1.03 Juta Pelajar dan Belia Sertai Malaysia Techlympics 2022 Pulau Pinang Rangkul Tempat Teratas Dalam Pertandingan Akhir Kebangsaan

27 November 2022, Kuala Lumpur – Malaysia Techlympics 2022 telah berjaya memperoleh sebanyak 1.03 juta penyertaan pelajar dan belia berusia antara tujuh (7) hingga 30 tahun sepanjang tempoh sembilan (9) bulan pertandingan itu.
Direka bentuk berasaskan pendekatan inklusif, tidak formal dan interaktif untuk pembelajaran dan membina keyakinan dalam STI, Malaysia Techlympics turut memberikan pendedahan kepada 150 kanak-kanak berkeperluan khas dari (lapan buah sekolah dan 545 kanak-kanak orang asal menerusi program jelajah Jangkauan Keterangkuman yang dijalankan di 66 lokasi di seluruh negara.
Malaysia Techlympics 2022 dilaksanakan oleh Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) iaitu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Luar Bandar (KPLB) serta wakil-wakil Kerajaan Negeri.
Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datuk Ts. Dr. Aminuddin bin Hassim pada Majlis Penutup Malaysia Techlympics 2022 Peringkat Akhir Kebangsaan berkata, “Inovasi dan kreativiti telah menjadi pemacu kekayaan negara-negara pada abad ke-21. Dalam kata lain, ukuran kehebatan sesebuah negara pada era teknologi ini adalah berpaksikan kepada kebolehannya dalam membudayakan STI serta menyemarakkan semangat dahagakan ciptaan.”
Katanya lagi, “Apa yang istimewa mengenai Malaysia Techlympics ialah program ini turut menyelitkan elemen keusahawanan yang diharapkan dapat menyokong para inovator dan inventor muda kita untuk mengambil langkah dalam mengembangkan penciptaan idea mereka.”
Dengan tema ‘Berhubung, Bersaing, Berjaya’, program perdana MOSTI ini bertujuan memupuk minat generasi muda terhadap STI melalui pendekatan yang lebih menyeronokkan. Oleh itu, pendekatan ini sekali gus dapat membudayakan belia dengan minda, set kemahiran dan aksi dalam menghasilkan inovasi berimpak tinggi serta melahirkan generasi penyelesai masalah dan tekno-usahawan masa hadapan.
Sebanyak 32 pertandingan di bawah lima (5) tema utama telah dianjurkan yang tertumpu kepada bidang-bidang membabitkan Sains, Kejuruteraan, Pengkomputeran dan Mikro-Komputer, Internet Benda (IoT), Robotik, Dron, Matematik, Reka Bentuk Kreatif dan Animasi serta Percetakan dan Pembangunan Tiga Dimensi (3D).
Pulau Pinang berjaya merangkul taktha pemenang keseluruhan dengan membawa pulang sebanyak 7 pingat emas, 7 pingat perak dan 2 pingat gangsa.
Sejak Malaysia Techlympics dilancarkan pada bulan Mac yang lalu, pelbagai aktiviti pembelajaran telah dilaksanakan seperti Kuiz Superstar Sains, Sesi Tutorial Pengangkutan Masa Hadapan, Bengkel Belajar Dengan Arduino, Webinar Teknologi Masa Depan: Pengaturcaraan Robotik Maya, simulasi Sains Penerbangan, Bengkel Matematik Praktikal untuk Pendidik, Webinar BYOD (Bina Reka Bentuk Anda Sendiri) dan mencipta animasi AR/VR.
Di bawah program jangkauan keterangkuman ini, sebanyak 26,645 pelajar dan 545 guru serta pensyarah telah melibatkan diri dalam aktiviti Malaysia Techlympics 2022.
Di samping itu, seramai 5,800 guru turut mendapat manfaat kursus Latihan Tenaga Pengajar atau Training of Trainers dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran bidang STI.
Untuk maklumat lanjut mengenai Malaysia Techlympics 2022, anda dijemput untuk melayari laman web rasmi www.techlympics.my.
DSC 6636        DSC 6709
DSC 6770         DSC 6533
Skip to content