Skip to main content
Berita

Program Perkelahan Astronomi

22 Februari 2025, Putrajaya – Planetarium Negara dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan GOLA Adventures Sdn. Bhd. menganjurkan satu program Perkelahan Astronomi sempena fenomena Planetary Alignment atau “Penjajaran Planet” di mana terdapat tujuh buah planet berbaris dalam satu barisan merentasi langit dari Barat ke Timur. Fenomena ini berlaku pada awal Januari 2025 dan akan dapat dilihat sehingga hujung bulan Mac 2025.

Perkelahan Astronomi ini turut dimeriahkan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), bersama YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, dan YBrs. Encik Mohd Zamri Shah bin Mastor, Pengarah Planetarium Negara.
Program ini telah menarik minat dan kehadiran lebih 1,500 orang awam dari seluruh negara yang telah bermula seawal jam 3.00 petang dan berakhir pada jam 3.00 pagi. Selain daripada perkelahan, pelbagai pengisian aktiviti menarik daripada pempamer seperti Pameran Astrofotografi, Info Matahari, Aktiviti Hands – on, Sesi Perkongsian Astronomi, Aktiviti Pencerapan Matahari dan Planet oleh beberapa buah balai cerap seluruh negara dan juga oleh para penggiat Astronomi.
Perkelahan Astronomi ini merupakan satu inisiatif Kerajaan – swasta untuk menggunakan pendekatan perkelahan yang mesra keluarga untuk meneroka industri “Pelancongan Astro” atau Astro Tourism di Malaysia. Kerjasama dan kolaborasi erat pihak Kerajaan dan Swasta ini amat penting untuk meningkatkan inspirasi dan minat terhadap Astronomi dan sains angkasa kepada generasi akan datang.
MOSTI melalui Planetarium Negara sentiasa komited dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan bidang Astronomi dan Sains Angkasa melalui pelbagai aktiviti pembelajaran sains bukan formal secara interaktif serta program-program pembudayaan Sains Angkasa dan Astronomi. Hal ini penting bagi memastikan negara tidak ketinggalan untuk menguasai bidang Sains Angkasa dan Astronomi bagi menjamin pembangunan yang menyeluruh dan lestari. Secara tidak langsung usaha ini juga mendukung Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi (DSTIN) 2021-2030 yang menekankan penguasaan ilmu Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) dan menerajui ASEAN Space Economy.
Skip to content