27 Februari 2025, Kuala Lumpur – Malaysia terus memperkukuh kedudukan sebagai hab teknologi serantau melalui pelancaran Akademi Pembangunan Bakat Robotik (Robotics Talent Development Academy – RoTDA), sebagai pemacu utama dalam pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang robotik dan automasi.
YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, ketika merasmikan pelancaran RoTDA, mengunjurkan bahawa impak usaha ini sebagai satu langkah strategik dalam merealisasikan Pelan Hala Tuju Robotik Kebangsaan (NRR30) 2021-2030, yang menyasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab robotik serantau menjelang tahun 2030.
Menurut YB Chang Lih Kang, “Inisiatif di bawah Teras Strategik Bakat dalam NRR ini dijangka bakal melahirkan sekurang-kurangnya 1,000 bakat baharu dalam bidang robotik setiap tahun, sejajar dengan keperluan industri dan perkembangan teknologi global”.
Beliau juga turut menyatakan bahawa pembangunan platform RoTDA ini diterajui bersama oleh MOSTI dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) selaku peneraju Jawatankuasa Kecil Bakat NRR. Pada masa yang sama, MRANTI agensi di bawah MOSTI di beri mandat sebagai pusat operasi fizikal RoTDA, dan memainkan peranan sebagai sebuah Pusat Setempat (One-Stop Centre) untuk semua pemain ekosistem robotik negara yang terdiri daripada akademik, industri hingga agensi kerajaan.
Pelaksanaan RoTDA melibatkan kerjasama MOSTI bersama 8 kementerian yang lain dan juga dua agensi berkaitan iaitu KKR, MITI, KPT, KK, KPM, KBS, KD, KESUMA, JPT dan MBOT.
Untuk maklumat lanjut berkaitan RoTDA, lawati laman web di https://mranti.my/rotda