27 Februari 2025, Kuala Lumpur – YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah merasmikan Sesi Libat Urus Bersama Agensi Kerajaan, Syarikat Swasta dan Akademia bagi Program Pembangunan Sistem Augmentasi Satelit Navigasi Negara (SBAS) di Ibu Pejabat Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kuala Lumpur. Hadir sama, YBhg. Dato’ Gs. Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah, MYSA dan YBrs. Puan Azmah binti Ali
Pengarah Bahagian Kejuruteraan dan Teknologi Angkasa, MYSA.
SBAS merupakan salah satu daripada 92 KPI dalam Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) di bawah Teras 2 iaitu ‘Menumpukan kepada teknologi, infrastruktur dan aplikasi angkasa yang signifikan kepada negara’.
SBAS berperanan meningkatkan ketepatan dan kebolehpercayaan isyarat satelit navigasi atau Global Navigation Satellite System (GNSS) bagi menyokong sektor seperti penerbangan, perkapalan, pemetaan, pertanian berteknologi tinggi, kenderaan berautonomi serta pelbagai aplikasi lain yang bergantung kepada penentududukan berketepatan tinggi.
Pelbagai SBAS telah dibangunkan oleh negara-negara maju seperti sistem Wide Area Augmentation System (WAAS) di Amerika Syarikat; sistem European Geostationary Navigation Overlay Service (EGNOS) di Eropah; dan sistem Southern Positioning Augmentation Network (SouthPAN) di Australia dan New Zealand. Pencapaian ini menjadi inspirasi kepada Malaysia untuk membangunkan sistem SBAS sendiri.
Pembangunan SBAS merupakan inisiatif strategik Kerajaan bagi memperkukuh keupayaan negara dalam sektor angkasa, memastikan kita tidak ketinggalan dalam revolusi teknologi satelit global dan memperkasa ekonomi angkasa baharu (new space economy).
Sesi libat urus ini dilaksanakan untuk mengenal pasti cabaran dan risiko serta mendapatkan input dari aspek teknologi, infrastruktur, perundangan, institusi serta potensi pengguna.
Lebih 50 peserta telah hadir melibatkan wakil daripada Agensi Kerajaan, Syarikat swasta dan akademia.