Skip to main content
Berita

Pelancaran Modul Astronomi bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) Ketidakupayaan Penglihatan

07 Julai 2025, Kuala Lumpur – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyempurnakan pelancaran Modul Astronomi bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) Ketidakupayaan Penglihatan di Planetarium Negara hari ini. Modul astronomi ini merupakan modul pertama diterbitkan dalam negara bagi kegunaan MBPK ketidakupayaan penglihatan untuk mempelajari bidang astronomi.

Hadir sama YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI; YBrs. Encik Mohd Zamri Shah bin Mastor, Pengarah Planetarium Negara dan YBrs. Encik Zainul Rahim bin Mohd Zain, Pengerusi Hibiscus Petroleum Berhad.
Modul ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Space Insight #PlanetariumGoldenHeart yang dirangka khusus untuk melibatkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam program pembudayaan Sains Angkasa yang berfokuskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) secara umumnya. Penghasilan modul ini dibangunkan dengan penyesuaian instruksional pembelajaran Astronomi yang bersesuaian untuk MBPK ketidakupayaan penglihatan. Modul ini turut menjadi sisipan modul bagi menyokong pembelajaran Sains di peringkat sekolah rendah.
Selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan Orang Kurang Upaya (OKU), inisiatif MADANI menekankan komitmen menyeluruh dalam memastikan tiada sesiapa yang tercicir, termasuk mereka yang berkeperluan khas. Kerajaan MADANI memberi perhatian khusus kepada pendidikan awal kanak-kanak dengan memastikan akses yang adil dan saksama kepada peluang pendidikan bagi semua golongan, termasuk kanak-kanak OKU. Ini sejajar dengan prinsip keterangkuman dan ihsan yang menjadi tunjang gagasan MADANI β€” mendidik dengan empati dan menyediakan sokongan yang menyeluruh sejak peringkat awal perkembangan.
Modul Astronomi bagi MBPK Ketidakupayaan Penglihatan ini akan diagihkan kepada 12 buah sekolah terpilih dalam negara yang memiliki murid berkeperluan khas. Melalui Program Transit Astronomi Inklusif, modul ini akan digunakan dalam program jangkauan ke sekolah-sekolah yang menempatkan MBPK ketidakupayaan penglihatan yang mengikuti program Pendidikan Khas Integrasi dan Program Pendidikan Inklusif di arus perdana. Modul ini juga akan turut dikongsikan dengan negara-negara ahli International Astronomical Union (IAU) di bawah kumpulan kerja 𝘞𝘰𝘳𝘬π˜ͺ𝘯𝘨 𝘎𝘳𝘰𝘢𝘱 𝘰𝘯 𝘐𝘯𝘀𝘭𝘢𝘴π˜ͺ𝘷𝘦 π˜–π˜Άπ˜΅π˜³π˜¦π˜’π˜€π˜©.
Penerbitan modul ini turut ditaja oleh Hibiscus Petroleum Berhad sebagai salah satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan. Antara kementerian/jabatan/ agensi yang turut kolaborasi dalam pembentukan modul ini adalah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Institut Pendidikan Guru, Kampus Ilmu Khas Universiti Malaya (UM); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Universiti Sains Malaysia (USM); Universiti Teknologi Mara (UiTM); dan KL Braille Resources.
Selain Majlis Pelancaran dan cetakan modul, skop program ini akan diperluaskan kepada Edu-Kit Jangkau Luar, Program Transit Astronomi Inklusif, Program Kolokium Astronomi Inklusif dan Penterjemahan Modul.
Skip to content