Skip to main content
Berita

Malaysia Lancar Dana Padanan RM 90 Juta, Sasar Jadi Hab Pembungkusan Canggih Semikonduktor Dunia

17 Julai 2025, Kuala Lumpur – RM90 Juta Dana Padanan dilancarkan oleh Malaysia Science Endowment (MSE) bagi memperkasa sektor semikonduktor negara dalam pembungkusan canggih (advanced packaging). Inisiatif strategik ini juga akan memenuhi permintaan global yang semakin meningkat terhadap cip kecerdasan buatan (AI) dan meningkatkan eksport elektrik dan elektronik (E&E) negara.

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya berkata’ hasil dana padanan semikonduktor ini dijangka akan memodenkan Outsourced Semiconductor Assembly and Test (OSAT) ke arah pembungkusan canggih selaras dengan visi Strategi Semikonduktor Nasional. Usaha ini juga bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab global dalam bidang teknologi pembungkusan canggih yang kini hanya dikuasai oleh segelintir negara seperti Taiwan’.
“Nilai keseluruhan program ini dijangka mencecah RM180 juta setelah menerima pemadanan sebanyak RM90 juta daripada industri. Ini juga merupakan program berpandukan misi (mission-oriented) yang pertama daripada MSE, dengan misi membangunkan keupayaan Malaysia dalam bidang pembungkusan canggih,” ujar beliau pada ucaptama di Majlis Sambutan 30 Tahun Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Penganugerahan Felo 2024 & 2025.
Sementara itu YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata “Dengan peruntukan RM170 juta menerusi Belanjawan 2025, MSE menggunakan pendekatan padanan dana 50:50 untuk menyokong program RDICE berimpak tinggi. MOSTI melihat MSE sebagai sebuah pendekatan inovatif dalam merangsang pelaburan jangka panjang yang turut meningkatkan keterlihatan serta keyakinan penderma dalam sektor sains dan teknologi negara.
MSE telah diluluskan oleh Parlimen pada 4 Ogos 2022, dengan Akademi Sains Malaysia (ASM) sebagai entiti pelaksana bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Sehingga kini, MSE telah memangkinkan kerjasama transformatif dengan lebih 19 buah negara antaranya Jepun, China, United Kingdom, dan Turkiye melalui rangka kerja dua hala dan pelbagai hala. Program-program penyelidikan, pembangunan, inovasi, pengkomersilan dan ekonomi atau RDICE yang dilancarkan bersama negara-negara berkenaan dalam bentuk penyelidikan bersama atau latihan kapasiti, telah mencatatkan jumlah padanan sebanyak RM32 juta.
Hadir sama YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI; YBhg. Academician Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASc, Presiden ASM dan YBrs. Puan Hazami Habib, Ketua Pegawai Eksekutif ASM.
Skip to content