Skip to main content
Arkib

Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (Low Carbon Cities 2030 Challenge, LCC2030C)

By 2019-08-05April 19th, 2020No Comments

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) telah menganjurkan Cabaran Bandar Rendah Karbon (LCC2030C) yang mana majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh YB Puan Yeo Bee Yin Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada 23 Julai 2019.

LCC2030C merupakan inisiatif baharu dengan sasaran untuk mempercepatkan transformasi bandar-bandar di Malaysia ke arah bandar karbon rendah. Bagi memastikan program ini memenuhi objektifnya, GreenTech Malaysia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mewujudkan Zon Rendah Karbon di setiap ibu negeri dan kawasan bandar utama di seluruh negara. Zon-zon Rendah Karbon ini akan mengurangkan pengeluaran daripada penggunaan tenaga dan air bangunan dan kawasan umum, pengurangan emisi daripada penggunaan kenderaan petrol dan diesel dan mengurangkan pelepasan daripada pembentukan sisa yang terkumpul di tapak pelupusan sampah.

Matlamat Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 adalah untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon keseluruhan dari bandar di seluruh negara selaras dengan komitmen negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030. Bandar-bandar karbon rendah memberikan pembangunan yang lebih lestari kepada komuniti melalui penggunaan sumber yang efisien dan mengurangkan pembaziran.

Malaysia akan mempengerusikan ASEAN Working Group on Environmentally Sustainable Cities (AWGESC) bagi tahun 2019 – 2022 menjadi tuan rumah pada tahun 2020. Sebagai Pengerusi, Malaysia akan merujuk objektif strategik AWGESC yang bertujuan untuk memastikan bandar-bandar di ASEAN memenuhi keperluan sosial dan ekonomi rakyat melalui alam sekitar yang lestari. Program-program seperti LCC2030C ini mungkin berpotensi dibawa ke peringkat ASEAN dan dilaksanakan oleh negara-negara ASEAN yang lain. Sejak 2011, GreenTech Malaysia telah melaksanakan program Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF). Di bawah program ini sebanyak 52 daripada 154 buah PBT telah memulakan inisiatif bandar karbon rendah mereka. 19 daripadanya telah membangunkan asas dan pelan tindakan karbon rendah manakala lima buah PBT telah mula mencapai pengurangan pelepasan karbon.

GreenTech Malaysia merupakan agensi di bawah MESTECC yang memacu perubahan iklim dan agenda karbon rendah di Malaysia. Semua PBT, universiti awam & swasta, sektor awam & swasta serta sektor perindustrian dan komersial digalakkan untuk bersama-sama dalam menjayakan Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 dan menjadikan negara sebagai bandar karbon rendah menjadi kenyataan.