Skip to main content
Arkib

NEW AND EMERGING TECHNOLOGIES IN ACHIEVING SUSTAINABLE DEVELOPMENT GOALS

By 2018-10-23April 19th, 2020No Comments

“NEW AND EMERGING TECHNOLOGIES IN ACHIEVING SUSTAINABLE DEVELOPMENT GOALS” :

REGIONAL CONFERENCE ON FOURTH INDUSTRIAL REVOLUTION


23 Oktober, PUTRAJAYA – Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) telah menganjurkan Regional Conference on Fourth Industrial Revolution bertemakan “New and Emerging Technologies in Achieving Sustainable Development Goals” pada hari ini, 23 Oktober hingga 24 October 2018 di Hotel Bangi-Putrajaya, Selangor.

Persidangan ini telah memberi tumpuan kepada peranan pembangunan, aplikasi dan pemindahan teknologi dalam pelbagai bidang untuk 4IR serta menyentuh aspek-aspek seperti peraturan, standard, infrastruktur dan sumber manusia dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk merealisasikan potensi teknologi.

Persidangan yang dianjurkan dengan sokongan APCTT ini bertujuan mewujudkan kesedaran dan berkongsi pengetahuan mengenai trend fenomena dan teknologi berkaitan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dalam mencapai pembangunan lestari (SDGs), selain mewujudkan peluang kerjasama di peringkat Asia dan Pasifik.

The Asian and Pacific Centre for Transfer of Technology (APCTT) merupakan sebuah badan serantau bernaung di bawah United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (ESCAP). Peranan APCTT adalah bagi mewujudkan kerjasama dan menggalakkan pemindahan teknologi di kalangan negara-negara anggota di rantau Asia dan Asia Pasifik.

Malaysia menerusi MESTECC menganggotai Governing Council (GC) APCTT sejak sesi pertama di Colombo, Sri Lanka pada 8 dan 9 Februari 2006 dan sekali lagi telah diberi kepercayaan untuk menganggotai GC APCTT bagi tempoh 2017 hingga 2020. Justeru, penganjuran persidangan ini adalah selaras dengan komitmen Malaysia dalam menyokong agenda pembangunan lestari di peringkat nasional dan serantau.

Sejak menyertai APCTT, 14 pakar dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, termasuk tenaga boleh diperbaharui dari Malaysia telah ditaja oleh APCTT untuk menjadi pakar rujuk di persidangan/bengkel serta menghadiri mesyuarat di peringkat Asia dan Pasifik yang menyumbang kepada pembangunan dasar dan kerjasama projek di peringkat serantau.

MESTECC juga telah mengenal pasti strategi-strategi utama dalam mengharungi 4IR iaitu meningkatkan kesedaran dan pemahaman, membangunkan teknologi dan aplikasi berkaitan 4IR berdasarkan permintaan pasaran serta membangunkan standard dan panduan yang berkaitan bagi meningkatkan daya saing industri dan memberi manfaat kepada komuniti.

Persidangan ini adalah sebahagian daripada strategi MESTECC mewujudkan kesedaran mengenai 4IR. Antara inisiatif lain yang berkaitan yang telah dilaksanakan dalam mengharungi 4IR ialah audit dan intervensi teknologi yang bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana menerusi program SIRIM-Fraunhoffer, aplikasi Internet of Things-IoT) dan Rangkaian Sensor Tanpa Wayar (Wireless Sensor Network-WSN) dalam penternakan dan pengusahaan madu kelulut, pembangunan Malaysian Health Data Warehouse (MyHDW) yang merupakan platform perkhidmatan penjagaan kesihatan bersepadu serta Paddy Cultivation Management System yang merupakan sistem pangkalan data geospatial bersepadu menggunakan remote sensing dan Geographic Information System (GIS) untuk pengurusan tanaman padi.

Persidangan ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datuk Kua Abun, Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pengkomersialan, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. Seramai 250 peserta yang terdiri daripada pegawai Kerajaan, pakar antarabangsa, akademia, persatuan industri dan syarikat-syarikat telah menyertai persidangan ini.

MESTECC sedia bekerjasama dengan pelbagai pemegang taruh seperti institusi Kerajaan, organisasi antarabangsa seperti APCTT, pihak industri, akademia dan komuniti dalam meningkatkan potensi aplikasi teknologi berkaitan 4IR untuk manfaat di peringkat nasional dan serantau.

-Tamat-


Maklumat lanjut sila hubungi:
Akmal Tujad
Unit Komunikasi Korporat
MESTECC
03-8885 8299 / 012-9075372
akmaltujad@mosti.gov.my