Skip to main content
Berita

Penjelajahan Saintifik Malaysia Ke Antartika

By 2016-01-13Mac 9th, 2017No Comments

KUALA LUMPUR, 13 JANUARI – Sekumpulan lapan penyelidik dari enam universiti tempatan akan menyertai ekspedisi ke Antartika selama 22 hari bermula 18 Januari ini. Penglibatan mereka dalam ekspedisi saintifik dan penyelidikan sains kutub ini merupakan kesinambungan dari penglibatan saintis tempatan dan ekspedisi-ekspedisi saintifik Malaysia ke Antartika yang telah bermula sejak tahun 1999 lagi.

Penyelidikan yang dijalankan oleh mereka adalah berkisar kepada hubungkait antara Antartika, biodiversiti dan perubahan iklim dengan penekanan kepada kajian gas rumah hijau dan lapisan ozon, variasi elektromagnetik bumi, ciri-ciri batuan, taburan debunga, hidupan laut (bentos dan alga), penghasilan enzim dan pancaran ultra violet.

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang bergiat aktif dalam penyelidikan Antartika dan penyertaan Malaysia dalam Sistem Triti Antartik (ATS) – [sila rujuk lampiran] pada 31 Oktober 2011 merupakan satu langkah untuk terus menggalakkan minat Malaysia dalam kemajuan sains di kawasan kutub. Seterusnya, bagi mencapai status sebagai Pihak Perunding ATS, Malaysia perlu membuktikan komitmen dengan menjalankan kajian saintifik di Antartika secara aktif dan berterusan dan ini telah ditunjukkan oleh penglibatan saintis Malaysia selama ini.

Penyertaan Malaysia dalam Triti ini akan membolehkan para penyelidik Malaysia memperhebat penglibatan mereka dalam bidang penyelidikan kutub dan bersama-sama dengan komuniti saintifik antarabangsa menyumbangkan pengetahuan baru dan meluaskan ilmu dalam bidang penyelidikan ini.

Bagi ekspedisi 2016 ini, ia diselaraskan oleh Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Universiti Malaya. Selain itu, ekspedisi ini turut melibatkan kerjasama daripada beberapa agensi antarabangsa seperti International Center for Space Weather Science and Education (ICSWSE), Kyushu University, Korean Polar Research Institute (KOPRI) dan University of Cambridge, UK.

Senarai penyelidik yang terlibat dalam ekspedisi ini adalah seperti berikut:
1. Dr. Mohamad Huzaimy Bin Jusoh, Universiti Teknologi MARA – Ketua Ekspedisi
2. Dr. Mohd Shahrul Bin Mohd Nadzir, Universiti Kebangsaan Malaysia
3. Dr. Emienour Muzalina Bt Mustafa, Universiti Malaya
4. Dr. Foong Swee Yeok, Universiti Sains Malaysia
5. Dr. Wan Mohd Rauhan Bin Wan Hussin, Universiti Malaysia Terengganu
6. Dr. Goh Thian Lai, Universiti Kebangsaan Malaysia
7. Muhamad Hilal Bin Mohd Zainudin, Universiti Sains Malaysia
8. Aniqah Zulfa Bt Abdul Latif, International Medical University

Dengan kepakaran penyelidik-penyelidik ini, penyelidikan Malaysia di benua Antartika akan terus berkembang pesat pada masa akan datang. Kerjasama dengan agensi penyelidikan luar negara di Antartika juga akan membolehkan Malaysia berada seiring dengan negara maju yang lain dalam kajian Antartika ini.

Skip to content