Skip to main content
Berita

Sistem Prasarana Komuniti Pintar (Icomm), Usaha Mosti ‘Merakyatkan Teknologi’

By 2016-01-23Mac 9th, 2017No Comments

Pekan, 23 Jan 2016 – YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak menggesa penduduk desa khususnya Kampung Padang Rumbia yang telah dipilih sebagai perintis menempatkan Sistem Prasarana Komuniti Pintar, memanfaatkan teknologi ICT untuk memperbaiki taraf sosio-ekonomi komuniti mereka.

Sistem Prasarana Komuniti Pintar (iComm) adalah merupakan salah satu inisiatif di bawah program Inovasi Sosial MOSTI yang dibangunkan oleh MOSTI melalui agensi penyelidikan dan pembangunannya, MIMOS Sdn. Bhd untuk menaik taraf sistem Komunikasi masyarakat setempat. Sistem ini merangkumi rangkaian kamera litar tertutup, alat pemantau paras air sungai dan platform komunikasi mudah alih berasaskan internet. Kampung Padang Rumbia adalah komuniti desa pertama di Malaysia yang mendapat faedah daripada projek perintis ini.

“Pada masa ini, negara-negara di seluruh dunia berlumba-lumba menjana ekonomi mereka yang berasaskan ilmu pengetahuan atau lebih dikenali sebagai K-economy. Antara asas K-economy adalah tahap pengetahuan rakyat tentang kemajuan dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang boleh digunakan untuk menjana ekonomi yang tidak bergantung sepenuhnya kepada sumber asli semata-mata,” demikian menurut YAB Perdana Menteri semasa ucapan Majlis Perasmian iComm di Kampung Padang Rumbia hari ini.

YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau dalam ucapan alu-aluannya berkata, “Melalui aplikasi ini, teknologi sensor bijak dapat mengesan kenaikan paras air sungai. Sehubungan itu, masyarakat sekeliling boleh bersiap sedia untuk berpindah dan menunggu arahan pihak berkuasa dari Semasa ke Semasa”.

Tambah beliau juga “MOSTI berhasrat melihat produk dan perkhidmatan teknologi buatan Malaysia ini seterusnya dimajukan dan dikomersialkan oleh sektor swasta atau agensi kerajaan, sesuai dengan matlamat Tahun Pengkomersialan Malaysia 2016 yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sewaktu pembentangan Bajet 2016 lalu”.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Yaakob, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Seri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur, Ahli Dewan Undangan Negeri Bebar, Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Pengerusi MIMOS YBhg. Datuk Wira Omar Kaseh, Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS dan YBhg. Datuk Abdul Wahab Abdullah.

Skip to content