Skip to main content
Berita

2024 World Artificial Intelligence Conference (WAIC) and High-Level Meeting on Global AI Governance

4 Julai 2024, China – YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI), Malaysia, telah menghadiri 2024 World Artificial Intelligence Conference (WAIC) and High-Level Meeting on Global AI Governance yang telah diadakan pada 4-6 Julai 2024, di Shanghai Expo Center.
Beliau telah menghadiri program-program utama termasuk upacara pembukaan dan sesi plenari, Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Menteri berkaitan Tadbir Urus AI Global yang dipengerusikan oleh H.E. Mr. Long Teng, Menteri Sains dan Teknologi (MOST), China, serta majlis makan malam yang dihadiri oleh wakil-wakil Kerajaan dan industri dari serata dunia.
Semasa Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Menteri yang diadakan pada 4 Julai, Ketua Setiausaha MOSTI telah menyampaikan ucapan mengenai tadbir urus AI global. Beliau telah menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa untuk mewujudkan rangka kerja yang dapat menjadi panduan dalam pembangunan AI bagi memastikan pertimbangan etika seimbang dengan inovasi.
Beliau menegaskan komitmen Malaysia terhadap rangka kerja tadbir urus AI yang kukuh seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan 2021-2025 yang memberi tumpuan kepada keadilan, keselamatan, privasi, keterangkuman, manfaat manusia, akauntabiliti, dan ketelusan.
Beliau menyarankan pembangunan piawaian antarabangsa yang boleh disesuaikan bagi menegaskan prinsip-prinsip teras keselamatan, keadilan, dan akauntabiliti. Beliau turut menekankan peranan AI dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan menangani cabaran utama, seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan, di samping memastikan manfaatnya dapat disebarkan secara saksama kepada semua lapisan masyarakat.
Malaysia juga mengalu-alukan kerjasama antarabangsa dalam memacu ekosistem AI, terutama dalam bidang yang menyumbang kepada kemajuan penyelidikan dan pembangunan, meningkatkan infrastruktur digital, memupuk bakat AI, dan mempertingkatkan pengaplikasian teknologi serta pelaburan ke rantau ini.
Dato’ Ts. Dr. KSU juga menekankan keperluan untuk membina rangka kerja tadbir urus AI yang fleksibel dan inklusif menerusi jalinan kerjasama antarabangsa dalam memacu pembangunan yang mampan serta memperbaiki kehidupan manusia sejagat.
Skip to content