Skip to main content
Berita

Reka Bentuk Inovatif Ke Pasaran Global

By 2016-03-24Mac 9th, 2017No Comments

Kuala Lumpur, 24 Mac 2016 – Untuk kekal bersaing dalam pasaran global dan memastikan produk dikomersialkan mendapat permintaan pasaran yang baik, adalah penting bagi pengeluar untuk tampil dengan idea-idea reka bentuk produk terkini dan trendy. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensinya Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) sentiasa berusaha untuk meningkatkan dan melonjakkan kreativiti dalam reka bentuk di kalangan pereka-pereka muda tempatan dengan penganjuran Pertandingan Rekabentuk Malaysia 2015.

Pertandingan ini merupakan platform untuk pereka-pereka muda tempatan mempamerkan kreativiti dalam pembangunan, penciptaan idea dan konsep terbaru untuk diperkenalkan kepada pasaran.

YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau dalam ucapannya menegaskan bahawa menghasilkan produk yang ‘menonjol’ dimata pengguna bukanlah suatu tugas yang mudah, memandangkan pengguna kini lebih tertarik kepada reka bentuk luaran yang indah. Penganjuran pertandingan ini diharap dapat merangsang industri untuk lebih peka mengenai kepentingan kualiti, reka bentuk dan penjenamaan yang berkesan dalam penghasilan produk untuk bersaing di pasaran terbuka.

Pertandingan Rekabentuk Malaysia 2015 telah menerima sebanyak 207 idea yang terdiri daripada 118 bagi kategori pelajar universiti (57%), 42 pelajar sekolah (20%) dan 47 profesional (23%). Daripada jumlah tersebut, 18 idea telah terpilih sebagai finalis pertandingan.
Bersempena dengan Tahun Pengkomersialan Malaysia 2016, YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau turut menggalakkan perkongsian dan kerjasama diantara sektor swasta dan kerajaan bagi memastikan lebih banyak idea reka bentuk menarik boleh dikomersialkan sebagaimana pemenang-pemenang Pertandingan anjuran bersama MRM dan IBag, sebuah syarikat pengeluar beg terkemuka tempatan yang turut diraikan pada hari ini.

Seramai 18 pemenang Pertandingan Rekabentuk Malaysia dan enam pemenang Pertandingan Rekabentuk MRM-Ibag diraikan dalam Majlis Penyampaian Hadiah oleh Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Rekabentuk Malaysia, YBhg Prof Dato’ Dr Ahmad Haji Zainuddin dan Pengarah Ibag Premium Sdn. Bhd., Pierce Ho.

Skip to content