Skip to main content
Berita

Makmal Pengujian Modul Fotovoltan Baru SIRIM Dilancarkan

By 2016-11-29Februari 1st, 2021No Comments

PETALING JAYA, 29 Nov 2016 – Makmal Pengujian Modul Fotovoltan SIRIM yang dilancarkan baru-baru ini akan membolehkan kualiti Modul Fotovoltan yang dikeluarkan oleh pengilang tempatan diuji mengikut standard Malaysia, MS IEC 61215 dan MS IEC 61646, serta edisi terkini standard antarabangsa, IEC 61215.

Makmal berkenaan yang dikendalikan oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd, anak syarikat SIRIM Berhad, juga akan dapat menyokong perkembangan industri Fotovoltan di Malaysia. Ia akan beroperasi pada tahun hadapan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Madius Tangau berkata pembangunan makmal pengujian berkenaan adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memajukan teknologi tenaga boleh diperbaharui di negara ini.

“Pendekatan seperti penukaran tenaga solar kepada tenaga elektrik menerusi Modul Fotovoltan solar telah mula diaplikasi di Malaysia. Kini, Malaysia merupakan pengeluar sel Fotovoltan dan Modul yang ketiga terbesar di dunia,” katanya ketika melancarkan Makmal Pengujian Modul Fotovoltan bersempena dengan Majlis SIRIM Industri 2016 yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Katanya, makmal pengujian itu juga akan membolehkan kemasukan Modul Fotovoltan yang tidak berkualiti dari negara luar, disekat.

SIRIM QAS International telah dilantik oleh Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) untuk membangunkan Makmal Pengujian Modul Fotovoltan di bawah program ‘Hab Serantau bagi Pengujian Solar, Pensijilan dan Pengujian’ (Regional Hub for Solar Testing, Certification and Testing) dengan dana permulaan sebanyak RM8 juta.

Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali di dalam ucapannya berkata, SIRIM sebagai sebuah kumpulan yang kukuh dengan enam buah anak syarikat, menggabungkan pelbagai jenis perkhidmatan di bawah satu bumbung dengan menggembeleng kepakaran dalam inovasi teknologi serta mengamalkan pendekatan berteraskan bisnes untuk meningkatkan kecekapan perniagaan.

Menurutnya, di bawah Rancangan Malaysia ke-11, SIRIM turut diberi kepercayaan untuk menubuhkan sebuah lagi makmal pengujian iaitu Makmal Pengujian Sistem Brek dan Komponennya bagi kenderaan bermotor di bawah lima tan.

“SIRIM QAS International sebagai badan pensijilan dan pengujian akan memastikan sistem brek ini mematuhi standard MS 1164. Fasiliti pengujian sistem brek yang ditubuhkan pada awal tahun hadapan ini juga akan dapat menyokong aktiviti pensijilan di Malaysia,” katanya.

Majlis SIRIM Industri 2016 yang berlangsung Jumaat lalu meraikan pelbagai industri dan agensi kerajaan yang telah menerima pensijilan dari SIRIM QAS International Sdn. Bhd, anak syarikat SIRIM Berhad bagi tempoh 1 Oktober 2015 hingga 31 Oktober 2016.

Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 1109 pensijilan yang terdiri daripada 451 pensijilan sistem pengurusan dan 658 pensijilan produk telah dikeluarkan oleh SIRIM QAS International. Sehingga kini, lebih daripada 9,000 organisasi di bawah Skim Pensijilan Barangan dan lebih daripada 6,000 organisasi dalam Skim Sistem Pengurusan telah mendapat pengiktirafan.

##

Mengenai SIRIM Berhad

Sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Malaysia di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan dan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, SIRIM Berhad adalah organisasi Penyelidikan dan Teknologi Perindustrian yang utama di negara ini. SIRIM Berhad juga adalah peneraju Kualiti dan telah menerima pengiktirafan antarabangsa bagi Standard dan Penilaian Pematuhan, selaras dengan misinya untuk “menjadi penyedia penyelesaian menyeluruh dalam inovasi kualiti dan teknologi.“ . www.sirim.my

 

Mengenai SIRIM QAS International Sdn Bhd

SIRIM QAS International adalah anak syarikat milik penuh SIRIM Berhad yang merupakan badan peneraju utama di Malaysia dalam menawarkan perkhidmatan pensijilan, pemeriksaan dan pengujian yang setanding dengan amalan antarabangsa.  Kami membantu pihak industri dalam menyediakan perkhidmatan dan barangan berkualiti melalui perkhidmatan pensijilan, pemeriksaan dan pengujian kami di samping menjaga kepentingan pengguna serta alam sekitar.  Pengiktirafan dan akreditasi yang diperolehi oleh kami daripada badan seperti Jabatan Standard Malaysia (STANDARDS MALAYSIA) dan United Kingdom Accreditation Service (UKAS) membuktikan kredibiliti perkhidmatan kami.www.sirim-qas.com.my

 

Perhubungan Media:

  • Ruhil Amani Zainal Abidin, Tel : 603 5544 6770 / 013-2010402 e-mel: ruhil@sirim.my
  • Joarief Johann Arief Tham, Tel : 603 5544 6781 / 017-8888825 e-mel: joarief@sirim.my
Skip to content