KUCHING, 4 MAC 2016 – ‘Sangkar Sembelihan’ Mudah Alih inovasi angkar umbi yang lebih efisien, mudah dan terurus bagi menggantikan teknik tradisional penyembelihan haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau telah diserahkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kepada JKKK Kampung Semariang Batu di lokasi Masjid Nurul Khair.
“Saya percaya terdapat banyak inovasi-inovasi yang dipertandingkan pada hari ini bersifat inklusif dan berimpak tinggi. Inovasi-inovasi ini wajar diketengahkan untuk dikomersilkan dan adalah menjadi tanggungjawab pihak MOSTI untuk memastikan inovasi-inovasi ini mendapat pengiktirafan yang sewajarnya selaras dengan Dasar Sains dan Teknologi Negara (DSTIN) yang bertujuan menggalakkan penggunaan S&T sebagai satu alat untuk pembangunan ekonomi negara”, kata YB Datuk Seri Panglima Madius dalam ucapannya sewaktu majlis penyerahan sangkar sembelihan tersebut di Kampung Semariang Batu, Kuching.
Sangkar Sembelihan ini adalah merupakan inovasi asal En Hamzan bin Hashim dari Perlis yang telah berjaya dijejaki MOSTI melalui agensinya Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan menerusi program Inovasi Sosial MOSTI atau MOSTI Social Innovation (MSI) produk telah ‘dibangunkan’ bagi kegunaan yang lebih meluas demi meningkatkan kesejahteraan rakyat. Inisiatif menjejaki inovasi akar umbi sama ada yang berbentuk produk, perkhidmatan atau model melalui MSI akan diberi dana yang sewajarnya bagi memenuhi keperluan sosial (meeting unmet social needs). Menerusi program MSI ini juga, MOSTI telah membiayai 77 buah projek secara keseluruhannya pada tahun 2015 yang melibatkan 16 buah agensi yang bertindak sebagai penyedia teknologi bagi projek-projek yang terpilih.
Selain ‘Sangkar Sembelihan’, YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau turut merasmi dan menyerahkan satu lagi produk pada hari ini iaitu Inovasi Pengurusan Sisa Makanan Dan Sisa Kebun Domestik Di Kampung Bako, Kuching. Projek dibangunkan dengan tujuan menaik taraf tempat pemprosesan sisa makanan dan kebun sedia ada menjadi Rumah Kompos, memperbaiki sistem kutipan sisa pepejal domestik seterusnya meningkatkan kualiti baja kompos dengan aplikasi pembuatan baja organik di kampung tersebut. Projek ini dapat menambah pendapatan penduduk tempatan dan secara tidak langsung meningkatkan kualiti aktiviti pertanian serta memulihara alam sekitar.