Skip to main content
Berita

Dasar Angkasa Negara 2030 – Memacu Pembangunan Sektor Angkasa Negara

By 2017-02-07Mac 8th, 2017No Comments

PUTRAJAYA, Selasa 7 Februari – Majlis Sains Negara (National Science Council – NSC) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada hari ini telah bersetuju meluluskan Dasar Angkasa Negara. Dasar ini bertujuan bagi memastikan sektor angkasa dapat dimanfaatkan dan menyumbang kepada bidang pertumbuhan ekonomi baharu yang strategik. Sektor angkasa juga dijangka dapat menyediakan platform pembangunan teknologi berkaitan angkasa lepas.

Menurut Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), penggubalan Dasar Angkasa Negara membolehkan perancangan dan pembangunan sektor angkasa negara dilaksanakan dengan lebih teratur serta dapat diuruskan secara lebih cekap.

Dasar Angkasa Negara juga merupakan asas penggubalan Akta Angkasa Lepas. Akta ini bertujuan untuk mengawal selia aktiviti dan operasi berkaitan sektor angkasa seperti pelancaran dan pengoperasian satelit, pendaftaran objek yang dilancarkan ke angkasa lepas, pengoperasian stesen Bumi dan aktiviti lain yang berkaitan.

“Malaysia juga memerlukan akta tersebut bagi membolehkan Kerajaan meratifikasikan beberapa perjanjian angkasa lepas antarabangsa yang telah ditandatangani”, ujar Wilfred Madius Tangau.

Mesyuarat NSC pada kali ini menekankan peranan utama yang dimainkan oleh sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam menghadapi cabaran masa hadapan. Dalam era ekonomi di mana inovasi dan kreativiti menjadi teras kepada daya saing di masa hadapan, ekosistem STI negara perlu diperkukuh bagi memastikan ekonomi negara terus kompetitif. Sejajar dengan ini, MOSTI telah menyusul tindakan untuk mengukuhkan ekosistem STI melalui penggubalan Pelan Induk STI Negara 2020-2030, Inisiatif Foresight Kebangsaan dan kajian semula Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi (DSTIN).

Inovasi dan kreativiti merupakan salah satu teras utama di dalam Transformasi Negara 2050 (TN50). Dalam menyokong pelaksanaan TN50, MOSTI melalui Akademi Sains Malaysia (ASM) menjalankan beberapa kajian foresight seperti Kajian Mega Sains 1.0, 2.0 dan 3.0 di bawah Program Perdana ASM Malaysia 2050.

NSC juga telah membincangkan pendekatan mekanisme rangkaian kolaboratif untuk mewujudkan industri baharu yang berpaksikan STI seperti Industri 4.0, Fintech dalam Kewangan Islam, Sistem Penyampaian Kesihatan Secara Maya dan Rantaian Industri Halal. Model seumpamanya telah berjaya dilaksanakan dalam sektor elektrik dan elektronik melalui penubuhan Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST).

Mesyuarat NSC pada kali ini juga antara lain juga telah bersetuju untuk menerima pakai The Malaysian Code of Responsible Conduct in Research (MCRCR) sebagai kod etika dan sumber rujukan utama bagi semua jenis penyelidikan di negara ini. MCRCR merupakan satu kod etika yang merangkumi semua aspek penyelidikan dan prinsip-prinsip serta amalan tatalaku bertanggungjawab. Pelaksanaan MCRCR akan menambah baik ekosistem pengurusan penyelidikan negara dan seterusnya meningkatkan tahap integriti penyelidik dan kepercayaan masyarakat terhadap hasil penyelidikan di Malaysia.

Skip to content