TUARAN, 7 Nov: Pusat Latihan STEM pertama di Malaysia dalam perancangan untuk ditubuhkan bagi membentuk masyarakat berkemahiran tinggi dan celik sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau berkata kementeriannya (MOSTI) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bekerjasama menggubal Pelan Tindakan STEM Bersepadu dimana penubuhan pusat latihan ini antara perancangan dibuat.
“Elemen STEM menjadi keutamaan kerajaan seperti dibentangkan dalam Bajet 2017 baru-baru ini. Modal insan berkemahiran sains, teknologi dan inovasi (STI) amat penting untuk membangun negara berpendapatan tinggi,” katanya.
Mengambil contoh dari modul UK STEM Centre di United Kingdom, peranan pusat tersebut sebagai pusat rujukan STEM untuk rakyat dan juga melatih guru sains dengan kaedah pengajaran terkini.
Selain itu, MOSTI melalui Akademi Sains Malaysia (ASM) turut mengimplementasi Pendidikan Sains Berasaskan Inkuiri (IBSE) dengan melatih 40 guru sains di Tuaran.
IBSE, dimulakan oleh Perancis dan diaplikasi lebih 50 negara, dilihat sebagai keadah efektif pengajaran sains di sekolah dan meningkat pemahaman STEM di usia muda.
Dari tahun 2013 hingga 2014, ASM telah menjalankan projek rintis IBSE di empat sekolah di daerah Hulu Langat, Selangor dan ia menunjukkan peningkatan membanggakan pada keputusan UPSR 2014.
“Harapan saya, penubuhan pusat latihan STEM negara dapat memperluas IBSE ke seluruh Malaysia,” katanya.