26 Oktober 2026, Kuala Lumpur – Majlis Perasmian NanoBridge International Symposium 2026 (NanoBridge 2026) telah disempurnakan oleh YBrs. Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Mukifza bin Harun, Pengarah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), MOSTI di UTM Hotel & Residence, Kuala Lumpur. Simposium ini menghimpunkan para penyelidik terkemuka, pemimpin industri, pembuat dasar, serta inovator teknologi dari dalam dan luar negara bagi merapatkan jurang antara kecemerlangan saintifik dan daya saing industri.
Penganjuran ini merupakan inisiatif strategik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) bersama NNC, MOSTI serta rakan kerjasama strategik. Berlangsung pada 26 – 27 Oktober 2026, simposium berteraskan tema *”From Niche Excellence to Real-World Innovation”* ini menyokong sinergi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN 2021–2030), Dasar dan Strategi Nanoteknologi Kebangsaan 2021–2030 (DSNN 2021–2030) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) di bawah MOSTI dalam memacu industri bernilai tinggi.
Simposium ini memfokuskan kepada peralihan penemuan skala makmal kepada aplikasi industri melalui pengesahan teknologi, pematuhan piawaian keselamatan, pengukuhan kolaborasi universiti-industri, serta pembangunan bakat masa hadapan yang berdaya keusahawanan. Diharapkan platform ini terus memperkukuh rantaian nilai teknologi termaju tempatan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.




