Skip to main content
Berita

Bengkel Cabaran MyIdeas 2013 dan Bengkel Kreativiti – Remote Control (RC) Aeromodelling dan Kawalan Jauh di Innospace Melaka

By 2013-06-30Disember 14th, 2020No Comments

a1

 

Batu Berendam, 30 Jun – Sempena dengan Dekad Inovasi 2010-2020 dan di dalam membudayakan kesedaran sains, teknologi dan inovasi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui kerjasama dengan pihak SIRIM Melaka dan Yayasan Angkasawan Malaysia (YAM) telah menjalankan Bengkel Cabaran MyIdeas 2013 (29 hingga 30 Jun 2013) dan Bengkel Kreativiti – Remote Control (RC) Aeromodelling dan Kawalan Jauh (28 hingga 30 Jun 2013) bertempat di Pusat inovasi Komuniti (Innospace) Melaka, SIRIM Melaka. 

Kedua-dua bengkel tersebut telah diadakan bertujuan membudayakan pemikiran kreatif dan inovatif. Bengkel Cabaran MyIdeas 2013 lebih tertumpu kepada proses penjanaan idea melalui pemikiran analitik, kritikal, lateral dan kreatif ke arah penghasilan idea yang mantap dan praktikal. Bengkel Kreativiti – Remote Control (RC) Aeromodelling dan Kawalan Jauh pula bertujuan memperkaya serta memperkukuhkan pengetahuan mengenai bidang aeromodelling dan keupayaan mereka cipta model kapal terbang serta pengenalan kepada peralatan avionik (peralatan bantuan mengawal kapal terbang). Seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada tenaga pengajar dan pelajar IPTA sekitar kawasan Melaka seperti Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Politeknik Kota Melaka, Politeknik Merlimau dan Kolej Komuniti Masjid Tanah telah menghadiri kedua-dua bengkel ini. 

Pada hari terakhir bengkel-begkel tersebut (30 Jun 2013), YB Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi MOSTI, telah turut sama meluangkan masa menghadiri kedua-dua bengkel tersebut dan memberikan kata-kata semangat serta motivasi kepada para peserta. Beliau juga telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah bagi pemenang Cabaran MyIdeas 2013 dan menyaksikan demonstrasi penerbangan modal kapal terbang para belia negeri Melaka. 

Pada keseluruhannya, bengkel-bengkel yang dijalankan di Innospace adalah bersifat hands-on dan mempunyai elemen sains interaktif kepada peserta serta dapat memberi impak yang mendalam untuk jangka panjang. Program seumpama ini bertujuan untuk menggalakkan pencetusan idea baharu dan pengkomersilan produk inovasi hasil ciptaan rakyat kreatif dan inisiatif sendiri sejajar dengan hasrat kerajaan bagi memperkasakan negara menerusi sains, teknologi dan inovasi.

Skip to content