Skip to main content
Berita

Bengkel Latihan Bioetika Bersama Assisting Bioethics Committee (ABC) UNESCO

By 2014-11-26Disember 14th, 2020No Comments

UKK_7481

Putrajaya, 26 November 2014 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Bahagian Bioteknologi Kebangsaan (BIOTEK) dan Majlis Bioetika Negara hari ini telah menganjurkan Bengkel Latihan Bioetika bersama Assisting Bioethics Committee (ABC) UNESCO Siri ke-2 bermula 25 hingga 28 November 2014 bertempat di Hotel Everly, Putrajaya. Bengkel ini telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Sri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur.

Bengkel Latihan Bioetika bersama Assisting Bioethics Committee (ABC) UNESCO diadakan bertujuan untuk memantapkan objektif penubuhan Majlis Bioetika Negara di samping meningkatkan tenaga kepakaran, sumber modal insan dan perkongsian ilmu pengetahuan dalam bidang bioetika bersama UNESCO. Melalui Bengkel ini peserta akan berpeluang untuk berinteraksi, bertukar fikiran dan pendapat serta berpeluang berbincang mengenai peranan, isu-isu semasa yang khusus berkaitan dengan bioetika. Pada 21 Disember 2012, Kerajaan Malaysia melalui MOSTI dan UNESCO telah menandatangani satu MOU pada untuk menjalin kerjasama latihan dalam bidang bioetika. Siri Satu (1) latihan ini telah diadakan pada tahun 2013 dan pada kali ini merupakan Siri Kedua. Bengkel ini disertai oleh 30 orang peserta dari kalangan para pembuat dasar serta para penyelidik.

Bioetika merupakan bidang yang melibatkan seluruh masyarakat dan merentasi budaya serta dimensi. Dengan perkembangan sains dan teknologi serta kehebatan saintis menerokai penemuan-penemuan baru, telah mengakibatkan wujudnya isu-isu etika yang menimbulkan berbagai pandangan dan persepsi berbeza daripada masyarakat.

Melalui bengkel ini pelbagai topik berkaitan bioetika telah disusun secara menyeluruh di samping perbincangan kajian kes yang berlaku di dalam dan di luar Negara. Platform ini akan menggabungkan idea dan pandangan daripada pembuat dasar dan penyelidik dengan dikawal selia oleh pakar-pakar daripada Assisting Bioethics Committee (ABC) UNESCO. Antara isu-isu yang dibincangkan adalah mengenai tanggung jawab sosial terhadap kesihatan, hak-hak dan maruah seorang pesakit, penjagaan perlindungan hal-hal kerahsiaan pesakit dan kaedah-kaedah serta perundangan dalam membuat keputusan rawatan terhadap pesakit.

Dato’ Sri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur melalui ucapan perasmian berkata, “Banyak perkara perlu dilakukan bagi memastikan agenda kesejahteraan rakyat tercapai. Dalam menangani isu berkaitan bioetika, pelbagai pihak perlu dilibatkan terutama mereka yang mahir dalam perundangan etika dan sains sosial untuk turut serta di dalam Majlis ini”.

Kerjasama erat yang terjalin di antara Malaysia dan UNESCO melalui kerjasama latihan ini diharap dapat mengetengahkan Malaysia di mata dunia dalam memberikan pendapat dan nasihat kepada badan dunia dan negara-negara anggota berkaitan aspek etika dan kemanusiaan agar perkembangan sains dan teknologi semasa selaras dengan norma dan budaya masyarakat dunia.