Skip to main content
Berita

Benih Padi IS21 Tingkatkan Produktiviti Pengeluaran Padi Negara

By 2021-11-20November 22nd, 2021No Comments
20 November 2021, Sekinchan –YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob hari ini telah melancarkan benih padi IS21 dijana melalui teknologi nuklear dengan kaedah mutasi aruhan sinaran gama, yang dibangunkan atas inisiatif Nuklear Malaysia, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Padi IS21 menggunakan kaedah mutasi aruhan sinaran nuklear ke atas tanaman padi, merupakan antara pencapaian terbaik kajian biak baka mutasi di Malaysia kerana mempunyai ciri-ciri agronomi yang sangat diperlukan dalam industri padi negara seperti hasil tuai yang tinggi, mempunyai daya ketahanan terhadap penyakit karah, tahan cuaca tidak menentu seperti kemarau dan banjir dan seterusnya potensi meningkatkan pendapatan dan sosio-ekonomi para pesawah.
Teknologi biak baka mutasi ini merupakan alternatif kepada prosedur pembaikbakaan konvensional. Ia berpotensi digunakan ke atas tanaman agromakanan dalam menghasilkan varieti yang mempunyai ciri-ciri lebih baik antaranya seperti ketahanan terhadap perubahan cuaca mendadak, ketahanan terhadap tekanan biotik dan abiotik serta pengeluaran hasil cepat dan mempunyai kualiti yang lebih baik dari segi zat dan nutrisi.
IS21 mampu mengeluarkan hasil padi sehingga 9 tan sehektar mengikut kawasan penanaman. Hasil tuaian juga boleh meningkat sebanyak 40 sehingga 67 peratus, bergantung kepada kawasan tanaman dan amalan kultura petani.
Varieti Padi IS21 telah didaftarkan di bawah Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 Jabatan Pertanian melalui Certificate of Registration of New Plant Variety and Grant of Breeder’s Right (Nombor Pendaftaran: PBR 0156 (NMR152).
Sementara itu, Padi IS21 ini telah diiktiraf oleh Jawatankuasa Dasar Bantuan Kerajaan kepada Industri Padi dan Beras sebagai benih padi sah negara dan dimasukkan dalam skim subsidi padi negara. Melalui subsidi ini, pesawah boleh mendapatkan benih padi pada harga RM35 untuk 20kg.
Sehingga kini, terdapat lebih 15,000 pesawah padi di seluruh negara telah menerima dan menanam Padi IS21 ini.
Pada 20 September 2021, Nuklear Malaysia telah menerima pengiktirafan Outstanding Achievement Award in Plant Mutation Breeding daripada International Atomic Energy Agency (IAEA) dan Food and Agriculture Organization (FAO) sempena Persidangan Agung kali ke-65 di Vienna, Austria untuk pembiakan mutasi tumbuhan dan bioteknologi yang telah meningkatkan keselamatan makanan melalui teknologi sinaran.
Skip to content