Skip to main content
Berita

Projek Pencarian Inovasi Berasaskan Bekalan Air Bersih Manfaatkan Penduduk Kampung Sapatalang, Daerah Pitas, Sabah

21 November 2021, Sabah – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba hari ini merasmikan Program Pencarian Inovasi Berasaskan Bekalan Air Bersih yang memberi manfaat kepada penduduk di Kampung Sapatalang, Daerah Pitas, Sabah.
Projek yang dijayakan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan inisiatif pemindahan ilmu serta memperkasakan penggunaan teknologi supaya permasalahan dalam komuniti dapat diselesaikan secara bersama dan lestari dalam semangat Keluarga Malaysia
YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata, “MOSTI komited dalam membangunkan inisiatif pencarian air menggunakan teknologi inovatif yang berfokuskan rakyat bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat secara inklusif terutama penduduk luar bandar dan terpinggir. Melalui projek ini, YIM dan UMS telah mengenalpasti masalah utama bekalan air bersih yang dihadapi oleh penduduk kampung yang disebabkan oleh punca mata air yang sering tersumbat. Projek Pencarian Inovasi berasaskan bekalan air bersih ini melibatkan inovasi teknologi kejuruteraan dan sosial bagi membolehkan kemudahan asas ini dibekalkan kepada masyarakat di Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah. ”
Pelaksanaan projek inovasi ini, yang dijalankan selama lima (5) bulan dengan peruntukan dari YIM, dapat membantu masyarakat setempat memperolehi sumber air bersih dan secara tidak langsung, meningkatkan kualiti kehidupan dan produktiviti.
Bekalan air bersih adalah isu utama yang dihadapi oleh penduduk kampung Sapatalang disebabkan punca mata air sering tersumbat dengan sampah seperti daun kering dan lumpur yang menutup laluan keluar mata air. Ini menyebabkan masyarakat di sini bergantung kepada air hujan untuk bekalan air memandangkan kampung ini terletak agak jauh dari sungai.
Dalam usaha untuk memastikan bekalan air bersih yang berterusan, projek ini turut melibatkan penambahbaikan kepada sistem penapisan air bersih. Antara kerja-kerja yang dilaksanakan adalah membangun dan menaiktaraf sistem bekalan air dari sumber mata air iaitu air bawah tanah dan tangki simpanan di kawasan tadahan serta meletakkan kemudahan sistem penapisan air yang telah dijalankan oleh pihak UMS di kawasan tadahan air Kampung Sapatalang. Bekalan air bersih ini disambung terus ke Dewan Masyarakat Kampung Sapatalang yang merupakan pusat tumpuan penduduk untuk mengadakan aktiviti.
Skip to content